BUKIT AMAN TEMBAK MATI PENJENAYAH DIKEHENDAKI DI SEREMBAN 2

Seorang penjenayah dikehendaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Persiaran S2/1, Seremban 2, malam semalam. Dalam kejadian jam 10.30 malam, suspek seorang lelaki warga tempatan dikatakan sempat merempuh sebuah kereta peronda ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof,  suspek yang berusia 38 tahun terserempak sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Bukit Aman. Pasukan berkenaan yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di daerah Seremban terserempak dengan sebuah kereta jenis Mercedes berwarna hitam di lokasi dalam keadaan mencurigakan. Polis cuba untuk menahan kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan. Namun pemandunya dikatakan merempuh kenderaan pasukan polis.  Sejurus merempuh sebuah kereta peronda polis, suspek dikatakan secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan.

Kedengaran beberapa das tembakan dipercayai dari kenderaan dinaiki suspek dan untuk mempertahankan diri, pasukan polis melepaskan beberapa das tembakan. Berlakulah berbalas tembakan sebelum dalam beberapa ketika keadaan kembali tenang dan tidak ada kedengaran bunyi tembakan lagi.  Sejurus kemudian polis membuat pemeriksaan terhadap kereta dipandu suspek dan mendapati seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Polis memanggil bantuan daripada Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebelum ambulans tiba dan petugas perubatan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia. Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek, menemui sepucuk pistol jenis 9 milimeter jenama Llama bersama dua peluru yang masih hidup di dalam kenderaan.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai sembilan rekod membabitkan enam kes dadah dan tiga rekod jenayah selain satu masih lagi ‘wanted’ bersabit dengan kes di Pulau Pinang.  Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. Siasatan lanjut diteruskan untuk kenal pasti pembabitan suspek dalam kes jenayah di Negeri Sembilan.

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

HEBAT: RAKYAT MELAKA PUAS DAPAT BERTEMU PEMIMPIN LUAH MASALAH

Seri Negeri – Rakyat Melaka meluahkan rasa syukur dan gembira apabila diberikan peluang bertemu pemimpin secara langsung pada Hari Ahli …

OPERASI LORONG KOSONG (Ops LOKOS) MBMB

Melaka Tengah – Operasi Lorong Kosong (Ops LOKOS) MBMB Bil. 21 Tahun 2025 anjuran Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya MBMB …

SARAPAN BUKAN SEKADAR MAKAN – IA PELINDUNG KESIHATAN ANDA

Sarapan Bukan Sekadar Makan – Ia Pelindung Kesihatan Anda! Ramai yang abaikan sarapan sebab sibuk. Tapi sarapan penting untuk: 🔋 …