LELAKI MEMANDU MABUK DIPENJARA 15 HARI, DENDA RM20,000

PADAH: Joan Lee (dua kanan) mengiringi tertuduh Yong (tengah) keluar selepas prosiding mahkamah untuk menjalani hukuman.

TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara 15 hari dan denda RM20,000 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, pada 9 November lepas.

Tertuduh, Yong Qing Lun, 33, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.45 malam di Jalan Sim Hua Seng dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

“Kebelakangan ini, kes pemandu mabuk di lihat semakin menjadi-jadi dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak terutamanya rakyat.

“Pihak berwajib digesa untuk menguatkuasakan undang-undang yang ketat dan hukuman lebih tegas dalam usaha membanteras insiden yang boleh membawa maut,” katanya.

Terdahulu, semakan rekod lampau mendapati tertuduh mempunyai satu kesalahan berulang di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987 dan telah dihadapkan ke Mahkamah Magistret Sandakan pada 27 Januari 2023.

Kesalahan kali kedua, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara 15 hari dan denda RM20,000 dan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu tertuduh digantung lima tahun.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,300 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, pada 21 September lepas.

Tertuduh, Tan Kim Poh, 25, didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.56 malam di Jalan Chong Thien Vun dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut