Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menekankan pembangunan mampan menerusi Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS). Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, rancangan itu menggariskan pelaksanaan kemampanan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta kelestarian alam sekitar selari dengan agenda global.
Agenda global untuk memperkukuhkan pelaksanaan konsep pembangunan mampan menjadi semakin penting dan mendesak. Jadi, agenda pembangunan mampan ini perlu diberi perhatian serius agar ia tidak membawa polemik berpanjangan dengan kos pemuliharaan alam sekitar yang membebankan.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk mengurangkan penggunaan bahan yang mengandungi bahan pemusnah ozon. Ia boleh didapati di dalam botol semburan racun serangga, alat penghawa dingin di rumah, bangunan dan kenderaan serta peti sejuk.
Apabila kita membeli peralatan baru, semak sama ada peralatan tersebut mempunyai label mesra ozon, bebas hidroflourokarbon (HCFC free) atau penjimatan tenaga yang efisen. Selain itu bagi memastikan bahan pemusnah ozon ini dikawal melalui penguatkuasaan, Jabatan Alam Sekitar telah mengadakan pemeriksaan dan pengujian gas refrigerant sebanyak 10 kali terhadap premis yang menggunapakainya di Negeri Sembilan mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 1999.
Sumber: Sinar Harian