AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN PRIVASI?

Dalam era digital kini, merakam dan menjual aksi hubungan intim di media sosial bukanlah perkara luar biasa. Ramai yang menggunakan platform seperti OnlyFans, Patreon, atau laman sosial biasa untuk menjual kandungan peribadi ini. Bagi sesetengah individu, ini adalah peluang menjana pendapatan secara mudah. Namun, ia juga membuka ruang kepada pelbagai isu seperti ancaman terhadap privasi, masalah etika, dan kesan pada masyarakat, terutamanya pada golongan muda.

Media sosial asalnya bertujuan untuk menghubungkan orang ramai dan berkongsi maklumat kini turut menjadi platform untuk kandungan eksplisit. Mudahnya akses internet dan kamera telah menjadikan sesiapa sahaja boleh menjadi “content creator” tanpa kawalan. Dalam masyarakat yang berpegang pada nilai tradisional dan agama, aktiviti ini mencetuskan kebimbangan kerana ia boleh mengubah pandangan terhadap hubungan intim, menjejaskan hubungan keluarga, dan memberi kesan buruk kepada golongan muda yang mudah terdedah.

Salah satu risiko terbesar ialah kebocoran data peribadi. Ramai yang tidak sedar bahawa sebaik sahaja kandungan itu dimuat naik, ia sukar dikawal atau dipadam sepenuhnya. Kebocoran ini boleh membawa kepada ugutan, trauma, dan kerosakan reputasi. Fenomena ‘revenge porn‘ atau pornografi dendam, contohnya, kerap kali berlaku apabila seseorang menyebarkan video atau gambar intim tanpa kebenaran untuk membalas dendam atau memalukan individu tersebut. Ini bukan sahaja melanggar hak privasi, malah boleh dianggap jenayah serius di Malaysia.

Dari sudut undang-undang, Malaysia telah menetapkan peraturan tegas melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan. Namun, untuk mengawal penyebaran bahan lucah dalam dunia maya bukanlah mudah. Individu yang terlibat sering kali menggunakan akaun palsu yang menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Dalam menangani isu ini, pendidikan dan kesedaran amat penting. Ibu bapa, guru, dan pihak berkuasa perlu memberi pendedahan kepada golongan muda tentang risiko yang mungkin timbul. Dengan lebih banyak kesedaran tentang privasi dan etika digital, kita boleh membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak.

Merakam dan menjual aksi intim di media sosial membawa risiko besar kepada individu dan masyarakat. Isu ini memerlukan pendekatan yang lebih peka terhadap keselamatan, etika, dan kesedaran. Kita perlu membina persekitaran digital yang lebih bertanggungjawab dan selamat supaya nilai murni dan hak privasi tidak terkorban dalam dunia maya yang semakin mencabar.

 

Disediakan oleh: Che Nur Syafiqkah Mohamad Fuzi

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut