MELESTARIKAN GENDANG PAHANG

JERANTUT: Gendang Pahang mempunyai prestijnya yang tersendiri meskipun hari ini ia semakin hanyut dalam arus waktu. Jika dulu Gendang Pahang dimainkan di pelbagai upacara sama ada majlis perkahwinan, sambutan pembesar dan acara-acara rasmi hari ini, ia hanya kedengaran di upacara persilatan.

Penerima Anugerah Seni Gendang Pahang, Muhamad Mohd Yunus, 58, berkata mengikut tradisinya, Gendang Pahang dimainkan hanya menggunakan tiga peralatan asas iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong atau tetawak.

“Gendang ibu dan gendang anak berbentuk kayu bulat memanjang dan berongga di dalamnya dan mengeluarkan bunyi tertentu apabila ditepuk atau diketuk dengan rotan .

“Panjang gendang ibu dan gendang anak berbeza-beza dan berongga di dalamnya dan kedua-dua hujungnya. Ia ditutupi dengan kulit lembu manakala saiz gendang ibu lebih besar daripada gendang anak,” katanya.

Tambah Mohamad, Gendang Pahang dikenali juga sebagai Gendang Melela kerana diketuk menggunakan tangan di satu permukaan, manakala permukaan yang satu lagi dipukul menggunakan rotan. Sesuatu yang menarik, berbeza dengan gendang negeri lain, Gendang Pahang tidak mempunyai ikatan pada badan bawahnya.

Gendang Pahang dikatakan bermula sekitar 1857. Ketika itu, permainan Gendang Pahang mula diperkenalkan setelah tercetusnya perang saudara di Chenor sebelum ia mula berkembang di beberapa buah daerah lain iaitu Jerantut, Lipis, Pekan, dan Temerloh.

Mohamad berkata, Gendang Pahang adalah seni muzik tradisi yang mendapat pengaruh seni muzik Islam dan ia dipercayai diperkenalkan oleh Datuk Purba Jelai seterusnya tersebar oleh tiga generasi.

“Gendang Pahang turut mempunyai lagunya tersendiri yang dikenali sebagai Bujang Hilir. Bagaimanapun lagu Gendang Pahang yang sering dimainkan adalah lagu ‘Samaderas’.

“Ia dikaitkan dengan ‘aliran tenaga’ yang tersendiri terhadap pergerakan silat seorang pengamal persilatan.

“Setiap seni pukulan gendang akan menghasilkan satu seni gerakan dalam seni silat yang disatukan dengan bunga-bunga persilatan terutamanya ‘bela sembah’ dan pergerakan belebat.

“Daripada bunga akan terbitlah buah dan dalam bunga juga ada maksud tertentu dari sudut kebatinan,” katanya.

Katanya, berdasarkan kajiannya terdapat 100 lagu Gendang Pahang antaranya, Sama Deras, Kambing Berlaga, Raja Beradu, Raja Berangkat, Gobek Sireh, Lenggang Janda, Tari Lilin, Mendayung dan Air Masuk Kuala.

“Disebabkan ia mempunyai lagunya sendiri, Gendang Pahang dimulakan dengan rentak pembukaan dan disudahi dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak sampingan yang lain.

“Walaupun ia bermula dalam acara persilatan, Gendang Pahang sering dimainkan ketika majlis perkahwinan, adat-istiadat istana, menyambut pembesar, serta tarian piring,” katanya.

Tambah Muhamad, Gendang Pahang tidak hanya dimainkan oleh golongan lelaki sahaja sebaliknya ia turut membabitkan kaum wanita.

Bagaimanapun, semua pemain gendang adalah berkait dengan persilatan justeru pemakaian busana juga turut berunsurkan budaya silat.

Umumnya, pakaian pemain Gendang Pahang adalah baju Melayu berdagang dalam dan berdagang luar dan bahagian kepala pula ditutupi dengan songkok atau bertanjak.

Muhamad berkata, pada tahun 2003, dia menubuhkan sebuah pasukan gendang yang diberi nama Cincin Belah Rotan yang bertujuan mengetengahkan seni Gendang Pahang kepada khalayak ramai. Penubuhan Cincin Belah Rotan berjaya mencuri tumpuan umum, dan ramai yang mula tahu sekaligus berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap kesenian itu.

Sekitar empat tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Jurulatih Gendang Pahang oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan seterusnya menjadi jurulatih Program Muzik Tradisional Pahang pada tahun 2018.

Muhamad berkata, cintanya pada Geng Pahang sebenarnya sudah bermula lebih lama daripada itu. Malah dia terbabit dengan gendang silat sejak zaman kanak-kanak hingga remaja apabila menyertai pelbagai perguruan silat sambil bermain dendang.

Semenjak tahun 1985 minatnya terhadap seni kebudayaan Melayu terus berkembang dengan bergiat aktif dalam bukan saja Gendang Pahang tetapi juga seni silat.

Namun, atas faktor usia, beliau kini tidak lagi bersilat dan bermain gendang tetapi lebih berminat untuk membuat kajian tentang Gendang Pahang.

Malah kerana minatnya pada warisan budaya itu, dia pernah berguru dengan sembilan guru tersohor dalam permainan Gendang Pahang di beberapa daerah di Pahang seperti dari daerah Lipis, Jerantut, Pekan, Bera, Bentong, Raub dan Temerloh.

Keterampilan beliau terus menyerlah apabila dilantik sebagai Penyelidik Muzium Pahang dan Penyelidik Arkib Negara Malaysia Negeri Pahang sejak 2019 sehingga 2022.

Pembabitannya dalam Gendang Pahang berterusan dan sekitar tahun 2022 dan 2023, beliau dilantik sebagai jurulatih Program Perantisan Gendang Pahang anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pahang yang diadakan di segenap pelusuk negeri.

Malah, dalam masa sama Muhamad mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan runut bunyi untuk album Muzium Pahang dan Galeri Muzium Pahang. Selain itu, beliau turut menghasilkan buku mengenai Gendang Pahang untuk Muzium Pahang.

SUMBER: BH

 

Artikel/Berita Terkini

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI

 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sekadar tema — ia lambang komitmen kerajaan dalam membina negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut