Sudah menjadi kelaziman buat seorang warga emas untuk mengekspresikan rasa cintanya terhadap tanah air dengan menghias rumahnya di Kampung Chenong Ulu di sini, dengan ratusan Jalur Gemilang setiap kali bulan Ogos. Inisiatif itu diambil Hamzah Mohamad, 64, bagi menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan sekali gus tandanya menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara selama ini. Dia yang merupakan bekas tentera berkata, sejak pertengahan bulan Julai lagi dia telah mula menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri lain.
Semua bendera ini di beli sikit demi sikit sejak beberapa tahun lalu dengan duit hasil menoreh getah. Apabila menjelang bulan Ogos, dia mula menghias sekeliling rumah dengan bendera dan ia akan dipasang secara berperingkat. Menurutnya, lebih 100 bendera Malaysia pelbagai saiz telah pun dipasang dan akan ditambah lagi beberapa hari menjelang 31 Ogos. Semuanya dipasang dan dihias sendiri yang biasanya dilakukan pada waktu pagi seusai bersarapan. Melihat rumahnya dihiasi dengan bendera Malaysia membuatkan semangat sebagai seorang tentera datang kembali selain membuatkannya lebih lagi bersemangat hendak menyambut merdeka dan secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat patriotik dalam diri.
Dia turut memasang tiga bunting yang tertera gambarnya ketika berkhidmat sebagai tentera dan tahun ini dia membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli bendera baharu. Bapa kepada empat anak itu berharap apa yang dilakukan dapat dapat dijadikan contoh terutama kepada generasi muda supaya lebih menghargai kemerdekaan dan keamanan yang dinikmati hari ini. Ia juga sebagai salah satu usaha menanamkan semangat patriotik dalam kalangan orang muda.
Sumber: Sinar Harian