Malaysia dan Turkiye bersedia mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pertahanan melibatkan aset-aset ketenteraan dan latihan pada masa hadapan.
Kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara perlu diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi melibatkan perjanjian dalam pelbagai bidang ketenteraan.
Kedua-dua negara bakal meneroka peluang baharu untuk bekerjasama dalam perkara membabitkan kebolehoperasian dan kesediaan kedua-dua angkatan tentera dalam semua “domain”, iaitu darat, laut, udara, siber, Al (kecerdasan buatan) dan perkongsian risikan.
Dengan kerjasama lebih mendalam, Malaysia akan memahami tentang aset, latihan dan pengalaman Turkiye, memandangkan negara itu adalah antara pengeluar terbesar aset ketenteraan di dunia.
Langkah itu akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetahui dan mempelajari apa sahaja berkenaan sesuatu peralatan ketenteraan yang dikeluarkan oleh negara itu.
Dari sudut pertahanan pula, Malaysia dan Turkiye bukan hanya sekadar pembeli dan pelanggan, tetapi juga mahu diangkat sebagai rakan, yang menjelaskan kesanggupan Ankara untuk berkongsi pelbagai aspek membabitkan bidang pertahanan.
Sumber: Sinar Harian