KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjanji memberi perhatian sewajarnya terhadap maklumat disalurkan masyarakat dalam usaha membanteras kegiatan pendatang asing yang ‘menjajah’ Cameron Highlands.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pada 30 Julai lalu, sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang ke-65, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah bertitah di Pahang sudah mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan.
Beliau mengambil contoh tanah di Cameron Highlands, Al-Sultan Abdullah bertitah tanah di kawasan itu yang dipajak dan disewa kepada petani, kini disewakan kepada warga asing kerana mengikut nafsu dan pentingkan wang ringgit, sehingga menggadai integriti.
“Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan supaya mereka yang dipertanggungjawabkan mengalas amanah ini, melaksanakannya dengan penuh integriti dan tidak sesekali gelap mata apabila ditawarkan dengan imbuhan wang ringgit.
“Sehubungan itu, SPRM mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Pahang dan SPRM akan mengambil perhatian sewajarnya berhubung perkara ini serta berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan salah laku dan salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Cawangan Baharu SPRM Cameron Highlands, di Tanah Rata, Pahang hari ini.
Khusairi berkata, SPRM juga berharap penjawat awam terutama pihak berkuasa tempatan di Cameron Highlands membantu SPRM dalam memerangi kegiatan menjajah tanah oleh warga asing di daerah Cameron Highlands.
“Berdasarkan statistik SPRM Pahang dari tahun 2020 sehingga kini, SPRM Pahang menerima 1,741 maklumat, dengan 440 kertas penyiasatan awal dibuka, 384 kertas siasatan dibuka, 282 tangkapan dibuat dan 104 kes pertuduhan dengan 56 sabitan.
“Berdasarkan statistik sama, di daerah Cameron Highlands, SPRM menerima 68 maklumat, di mana sebanyak 13 kertas penyiasatan awal dibuka, tujuh kertas siasatan dibuka, sembilan tangkapan dibuat dan tiga kes pertuduhan dengan satu sabitan,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan SPRM Cawangan Cameron Highlands ini adalah untuk memperkukuhkan fungsi operasi dan pencegahan
dalam usaha membanteras rasuah secara holistik.
“Pengurusan tertinggi SPRM mengambil tindakan efektif dalam meluluskan penubuhan cawangan ini.
“Diharap penduduk Cameron Highlands mengambil peluang kewujudan pejabat ini dan dimanfaatkan bersama-sama dalam usaha kita membanteras rasuah supaya imej negara bersih dari gejala rasuah,” katanya.
SUMBER: BH



