JPNP BERI DRON KEPADA JBPM BAGI KESAN KEBAKARAN HUTAN PAYA GAMBUT

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyumbang satu unit dron berteknologi tinggi bernilai RM30,000 untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bagi kegunaan memantau kebakaran hutan paya gambut di negeri ini.

Sumbangan kali pertama itu sebagai tanda kerjasama erat antara dua agensi berkenaan dibawah projek ‘Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia’ (SMPEM).

Timbalan Pengarah (Operasi) JPNP, Dr Grippin Akeng berkata, kelebihan dron jenis Dji Matrice 30T berteknologi tinggi yang diberikan kepada JBPM termasuk mengesan haba kebakaran, terbang ketika hujan, mengambil gambar dan video pada jarak jauh.

Katanya, dron itu diharap dapat memudahkan lagi JBPM mengesan kebakaran terutama di hutan paya gambut Pahang Tenggara yang hampir setiap tahun musnah disebabkan kebakaran.

Beliau berkata, hutan paya gambut Pahang Tenggara membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin dengan keluasan lebih 100,000 hektar. Setiap kali musim kemarau dan berangin kebakaran akan berlaku hingga menyukarkan usaha memadam api.

“Untuk membantu JBPM juga turut menyediakan kakitangan bagi membantu kerja memadam kebakaran kawasan hutan paya gambut di negeri ini.

“Kita akan terus bekerjasama dengan JBPM dalam memadam kebakaran termasuk berkongsi maklumat mengenai hutan paya gambut dalam memastikan hutan berkenaan tidak terus pupus,” katanya pada majlis penyerahan dron epada JBPM di bilik mesyuarat Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, di sini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Pada majlis berkenaan JPNP turut menyumbang ‘Thermal Imager’ kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang.

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, dron itu juga dapat membantu melancarkan lagi usaha mengesan bencana seperti kebakaran hutan, banjir dan tanah runtuh.

“JPNP dan JBPM Pahang adalah rakan strategik sejak beberapa tahun lalu, kami saling bertukar maklumat mengenai hutan terutama apabila berlakukan kebakaran dan orang sesat dalam hutan,” katanya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

111 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SAPU DI TIGA DAERAH

TAHAN: Antara PATI Yang Ditahan Dalam Operasi Ini. KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah …

AADK TUBUH UNIT DRON PERKUKUH PEMANTAUAN KAWASAN PANAS DADAH

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan Unit Dron bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, khususnya di kawasan panas penyalahgunaan dadah …

THANUSAA CIPTA KEJUTAN, SUMBANG EMAS UNTUK MELAKA

Ayer Keroh – Melaka terus menambah kutipan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor apabila atlet skuasy wanita, U Thanusaa …