KUANTAN: Seorang suri rumah di Jerantut kerugian RM144,750 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 44 tahun berminat menyertai pelaburan melalui aplikasi Telegram pada 21 Julai lalu.
Katanya, mangsa mula melabur sejumlah RM1,000 dan memperolehi pulangan berjumlah RM30,000 dalam tempoh singkat seperti yang dijanjikan suspek.
“Selepas itu, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran wang proses untuk menebus hasil pelaburan itu.
“Sepanjang tempoh bermula dari 21 Julai lalu hingga kelmarin, mangsa melakukan 21 transaksi kepada 13 akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan pelaburan berkenaan. Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada wang simpanan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
SUMBER: BH



