KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna kerana Sabah turut meraikan bersama Hari Sabah setelah Kerajaan Negeri mewartakannya untuk memperingati hari bersejarah itu pada Jun lalu.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap tiada kekeliruan dalam penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang julung kali diraikan serentak pada tahun ini.
Katanya, sambutan Hari Sabah penting sebagai titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini.
“Hari Sabah juga memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963 dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk pemerintahan sendiri dan membentuk negara Malaysia.
“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan saja mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah.
“Namun, yang lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan memajukan negeri ini serta negara kita yang tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, sejajar usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus menjadi keutamaan.
Hajiji melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan Bangunan DBKK.
Antara usaha itu katanya ialah berkaitan keterjaminan makanan, meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara serta pelancongan, menoktahkan miskin tegar, peningkatan infrastruktur, pendidikan, peningkatan penyampaian perkhidmatan dan keselamatan.
“Kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang agar berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara dari terus diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jelasnya, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ yang dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menggambarkan komitmen untuk terus membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera.
Katanya, tema itu juga membawa maksud pentingnya usaha ke arah kemakmuran dan kemajuan, di samping menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi.
Hajiji berharap agar rakyat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan utama dalam pembangunan dan kemajuan negara serta negeri ini.
“Sesungguhnya, rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memelihara dan mempertahankan perpaduan yang sedia terjalin.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, saya menyeru kepada rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta kenderaan sepanjang sambutan ini sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan.
“Sudah pasti dengan adanya semangat dan komitmen yang tinggi untuk sama-sama menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang dan bendera negeri akan sentiasa berkibar dengan megah sebagai bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan dan mengisi nikmat kemerdekaan,” katanya.
Pelbagai program dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini, antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti Peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bulan kebangsaan bukan sekadar perayaan semata-mata, ia juga adalah peluang untuk kita menyantuni rakyat, mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum negeri ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X