KUALA LUMPUR: Pakar berkaitan keselamatan siber mencadangkan empat tindakan tegas diambil kerajaan terhadap pengendali media sosial, yang membenarkan berlaku pelanggaran dalam aspek kandungan, sekali gus menjurus kepada perbuatan jenayah serta buli di dalam talian.
Pakar keselamatan rangkaian dan maklumat dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zuriati Ahmad Zukarnain, berkata empat tindakan tegas itu adalah penalti kerana ketidakpatuhan, denda, sekatan dan tuduhan jenayah.
Beliau berkata, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal selia pengendali media sosial supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mencegah hal tidak bermoral atau kandungan haram di dalam talian.
“Akta sedia ada belum mencukupi untuk mengekang perbuatan buli siber dan juga isu agama, raja dan kaum (3R) yang berlaku di pelbagai platform media sosial ketika ini.
“Garis panduan sebegini perlu untuk meningkatkan keselamatan pengguna media sosial, selain turut mendidik masyarakat supaya lebih berhemah dalam menggunakan teknologi terbabit.
“Sehubungan itu, pelaksanaan denda yang tinggi untuk mana-mana pelanggaran boleh berfungsi sebagai penghalang yang kuat manakala aspek sekatan kepada platform secara kekal atau sementara turut boleh dilaksanakan jika pengendali gagal mematuhi peraturan secara konsisten,” katanya kepada BH, semalam.
Pada masa sama, Zuriati Ahmad berkata, dalam kes pelanggaran yang lebih berat caj jenayah boleh dikenakan terhadap eksekutif atau syarikat itu sendiri seperti kegagalan untuk menurunkan kandungan haram atau pelanggaran data yang disengajakan.
Beliau berkata, selain aspek tindakan tegas, kerajaan juga boleh melaksanakan insentif kelakuan baik untuk mana-mana penyedia media sosial antaranya pelepasan cukai atau pengiktirafan awam.
Katanya, tindakan undang-undang dan pentadbiran, mengeluarkan perintah berhenti untuk menghentikan aktiviti tertentu yang melanggar peraturan juga boleh dilaksanakan kerajaan.
“Selain itu, kebenaran litigasi sivil terhadap syarikat yang melanggar peraturan bagi membolehkan pengguna terjejas mendapatkan ganti rugi.
“Pelaksanaan sistem pelesenan di mana platform media sosial mesti mendapatkan dan memperbaharui lesen untuk beroperasi, bergantung pada pematuhan mereka terhadap peraturan juga adalah penting,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Kanan Keselamatan Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daniel Hafiz Abdullah, berkata kerajaan boleh memperkenalkan mekanisme penapisan untuk menghalang kandungan yang berbahaya daripada tersebar di dalam negara.
Bagi tujuan itu, katanya, kerjasama dengan syarikat teknologi untuk membangunkan penyelesaian teknikal yang lebih baik bagi mengesan dan menghapuskan kandungan berbahaya boleh dilakukan termasuk penggunaan algoritma pengesanan automatik dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, kerajaan boleh bekerjasama dengan negara lain dan badan antarabangsa untuk mewujudkan standard global dalam mengawal selia media sosial.
“Ini termasuk pertukaran maklumat mengenai ancaman keselamatan siber dan strategi terbaik untuk menangani isu berkaitan dengan media sosial.
“Mewujudkan forum kerjasama antara kerajaan, syarikat teknologi, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi maklumat dan strategi terbaik dalam menangani isu media sosial juga boleh diadakan,” katanya.
Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, Muhammad Daniel berkata, kerajaan juga perlu melabur dalam teknologi dan latihan untuk pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang dan institusi berkaitan. I
Katanya, ini termasuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam menangani jenayah siber yang semakin canggih serta memperoleh teknologi yang diperlukan untuk mengesan dan membanteras ancaman siber.
“Dalam kes membabitkan ancaman serius kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam, kerajaan boleh menyekat akses kepada platform media sosial yang enggan mematuhi peraturan melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat laman web.
“Jenayah siber seperti penipuan, pencerobohan data dan penyebaran maklumat palsu memerlukan mekanisma perundangan yang terperinci untuk menangani kompleksiti dan keunikan mereka.
“Undang-undang khas penting kerana dapat memberikan kerangka kerja lebih jelas untuk penguatkuasaan dan perlindungan, malah pihak berkuasa boleh memanfaatkan pendekatan lebih terarah untuk mengatasi kes buli dan jenayah siber yang tidak dapat dicapai dengan undang-undang umum,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN