KUALA LUMPUR: Negara tidak mempunyai punca kuasa atau undang-undang khusus yang wujud bagi mengawal selia pengendali dan penyedia platform media sosial.
Exco Litigasi Strategik dan Isu-isu Perundangan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Khairul Naim Rafidi, berkata atas dasar itu, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas, namun berhemah dalam aspek terbabit.
Mengulas lanjut katanya, tindakan itu termasuklah menyemak semula undang-undang sedia ada yang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) untuk dibuat pindaan jika wujud keperluannya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memperincikan dan meluaskan kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak.
“Secara undang-undang, ketika ini punca kuasa itu tidak wujud, jadi timbul persoalan bagaimana ingin bertindak untuk mengawal selia penyedia media sosial.
“Dalam konteks Malaysia, saya percaya kita tidak mempunyai undang-undang untuk mentafsirkan buli siber dengan jelas. Setakat yang kita ada adalah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta 588.
“Peruntukan itu menyatakan mengenai kesalahan yang pada pandangan saya menghampiri perbuatan buli siber namun saya fikir ia masih kabur, lantas menyebabkan kesukaran untuk kita tafsirkan aktiviti buli siber ini,” katanya kepada BH, semalam.
Kerajaan dilihat memandang serius perbuatan jenayah dan buli siber sejak akhir-akhir ini, malah turut menubuhkan pasukan khas yang menggabungkan empat kementerian bagi membincangkan cadangan meminda Akta 574, khusus untuk membanteras buli siber.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum ini, turut mengarahkan mengarahkan MCMC untuk mengambil tindakan segera berhubung isu lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber dalam media sosial di negara ini.
Pada masa sama, Khairul Naim berkata, melalui penelitiannya terhadap Akta 563 pula, undang-undang itu juga tidak menyediakan sebarang peruntukan spesifik mengenai kesalahan buli siber.
Beliau berkata, begitu juga dengan Kanun Keseksaan, di mana Seksyen 506 hanya ada menyatakan mengenai kesalahan menakutkan secara jenayah.
“Sekali lagi, ia adalah peruntukan kesalahan yang umum dan tidak secara spesifik menjurus kepada kesalahan buli siber.
“Cuma, saya percaya bahawa wujud kerjasama MCMC dengan penyedia platform media sosial di mana suruhanjaya itu boleh memohon untuk menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia.
“Namun harus diingat secara umumnya ketika ini undang-undang tidak memaksa mana-mana penyedia platform untuk menurunkan sebarang kandungan di media sosial, ia bergantung kepada budi bicara,” katanya.
Ketika ditanya berhubung keperluan mewujudkan akta baharu, Khairul Naim berkata, ia bukan penyelesaian yang praktikal, efektif dan berkesan kerana adanya undang-undang yang banyak bukanlah kayu ukur bagi menyelesaikan masalah buli siber.
Beliau berkata, ini kerana selain tindakan tegas, kerajaan perlu melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan media sosial secara betul.
“Saya lihat di Malaysia ini, kalau ada masalah, terus hendak buat undang-undang baharu kerana perkara seperti ini perlu lihat kepada keadaan.
“Paling mustahak, didik rakyat mengenai kesalahan dan keburukan buli siber ini. Tindakan kesedaran dan pencegahan itu lebih baik sebelum babak yang lebih buruk berlaku dalam negara,” katanya.
Menjelaskan mengenai takrifan buli siber, ia asasnya adalah satu fenomena baharu yang tidak mempunyai tafsiran sejagat.
“Saya melihat bahawa buli siber atau gangguan siber adalah suatu tindakan buli yang berlaku dalam talian.
“Biasanya, ia dilakukan melalui teks, imej atau video bagi tujuan memalukan, mengugut, atau memaki hamun mangsa,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN