KOTA KINABALU: Isu bekalan air yang sebelum ini menjejaskan warga di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, dilaporkan sudah selesai sepenuhnya.
Bekalan air semasa diyakini mampu menampung keperluan warga kampus, termasuk pertambahan pelajar baharu yang mula mendaftar pada Oktober depan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata perkembangan itu berdasarkan rekod semasa kapasiti air yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Beliau berkata, bacaan harian kapasiti air yang direkodkan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS mendapati bekalan air terawat disalurkan pihak JANS ke kampus induk UMS ketika ini pada tahap yang stabil dan mencukupi.
“Situasi bekalan air dari pihak JANS yang diperolehi UMS dari Januari 2024 semakin meningkat berbanding sebelumnya dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu purata lima juta liter sehari (MLD).
“Di samping itu juga, projek pembinaan telaga tiub menerusi dana peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini juga sudah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.
“Bekalan air telaga tiub adalah sumber alternatif bagi mengurangkan impak kepada pelajar sekiranya berlaku gangguan bekalan air JANS akibat kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Jelasnya, berdasarkan perkembangan bekalan air dari pihak JANS yang stabil dan konsisten ketika ini serta bekalan air alternatif telaga tiub yang sudah siap dan berjalan lancar, UMS ketika ini tidak lagi berdepan sebarang isu bekalan air.
Populasi terkini di kampus induk UMS yang mencecah 20,000 orang dengan keluasan kira-kira 403 hektar memerlukan antara tiga hingga lima MLD bagi memenuhi keperluan bekalan air warga kampusnya.
Kasim berkata, pihaknya menghargai usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang mengambil berat sebarang keperluan universiti, khususnya isu bekalan air.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X