KOTA KINABALU: Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, disyaki keracunan makanan hingga terpaksa digegaskan ke Hospital Likas, di sini, tengah hari tadi.
Difahamkan, insiden itu membabitkan ramai murid sesi pagi sekolah berkenaan, namun setakat ini belum ada maklumat lanjut mengenainya, termasuk punca kejadian.
Maklumat mengenai insiden itu setakat ini berdasarkan hantaran di media sosial yang tular sejak petang tadi mengatakan berlaku keracunan makanan di sekolah itu.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook Reduan Aklee, beliau yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, berkongsi langkah segera beliau meninjau keadaan murid sekolah terbabit di Hospital Likas, petang tadi.
Reduan Aklee (kanan) ketika melakukan tinjauan keadaan murid sekolah terbabit di Hospital Likas, Kota Kinabalu.
“Saya terus bergegas ke Hospital Likas utk melihat keadaan mereka dan dimaklumkan oleh pihak hospital keadaan mereka agak stabil ketika ini dan ada yang telah dibenarkan pulang dan ada yang masih memerlukan pemantauan.
“Saya sempat juga bertemu dengan Guru Besar yang turut berada di Hospital dan berbincang berhubung dengan kejadian ini dan memaklumkan bahawa pihak sekolah akan menunggu laporan penuh drpd pihak hospital utk tindakan susulan selepas itu.
“Sementara itu saya mohon hentikan dahulu segala spekulasi sehingga laporan penuh diterima oleh pihak sekolah.
“Saya doakan agar pelajar2 ini semua akan sembuh segera. Sy ingin merakamkan terima kasih kepada pihak pengurusan hospital atas tindakan pantas mereka memberikan rawatan kepada pelajar2 ini,” katanya dalam perkongsian itu.
Selain itu, beberapa akaun Facebook dipercayai ibu bapa murid di sekolah itu turut berkongsi mengenai insiden berkenaan.
Setakat ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
#BKN2024
Sumber: INFO X