Pada hari ini (14 Julai) dalam tahun 1964, Rang Undang-undang (Pindaan) Keselamatan Dalam Negeri yang memberi kuasa kepada kerajaan menyaring pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Saringan dilakukan oleh Ketua Pegawai Pelajaran Negeri atau Pengarah Pelajaran atau Ketua Pegawai Penasihat Pelajaran ke atas pelajar-pelajar yang dianggap membahayakan keselamatan negara.Langkah-langkah juga turut diambil untuk memastikan supaya kesilapan saringan tidak berlaku. Hanya mereka yang telah diketahui sah tidak diingin sebagai pelajar di sekolah-sekolah tinggi sahaja tidak akan diberi izin untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti.
Walaupun isu yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat adalah sebuah isu yang kontroversial, langkah untuk meluluskan Rang Undang-undang ini dianggap tepat pada waktunya.Orang ramai juga telah diberi gambaran yang jelas tentang bahaya anasir komunis di sekolah-sekolah tinggi. Walaubagaimanapun, penyaringan pelajar ini tidak pula menyentuh atau mengurangi kebebasan rakyat. Langkah-langkah keselamatan ini dijalankan semata-mata kerana negara perlu memperlengkapkan diri dengan undang-undang untuk menghadapi anasir yang ingin merosakkan demokrasi dan dasar hidup rakyat.Di atas dasar inilah maka pada hari ini dalam tahun 1964, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) Keselamatan Dalam Negeri.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
Matriks Keselamatan Negara: Pengukuhan Patriotisme



