BRICS; MANFAAT DAN PENGARUH KEPADA EKONOMI MALAYSIA

Malaysia secara amnya telah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan kerjasama ekonomi, yang dikenali sebagai BRICS. Hasrat tersebut dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

 

Pada permulaan penubuhannya pada 2006, ia berperananan sebagai platform kerjasama dalam bidang ekonomi bagi negara-negara yang sedang pesat membangun, dikenali sebagai BRIC iaitu akronim kepada negara-negara anggotanya iaitu Brazil, Russia, India dan China. Afrika Selatan menyertai kerjasama ini pada 2010, menjadikan kerjasama ini dikenali sebagai BRICS sehingga ke hari ini. Istilah BRICS ini adalah adaptasi idea Jim O’Neill pada 2001 yang menganggap Brazil, Russia, India dan China ini akan menjadi kuasa ekonomi dunia pada abad ke 21. Matlamat utama penubuhan BRICS ialah untuk menyatukan negara-negara membangun, mengurangkan dominasi Amerika Syarikat dan negara-negara Barat (G7), sekali gus memberi saingan kepada kuasa politik dan ekonomi Barat.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu mengikuti jejak negara Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu yang telah terlebih dahulu menyertainya pada Januari 2024.

 

Selain kerjasama dalam bidang ekonomi, BRICS juga berperanan meningkatkan kerjasama politik dan sosial di antara negara anggota. Ia juga secara tidak langsung memberikan impak suara yang lebih kuat di peringkat antarabangsa. Di antara aspek-aspek penting kerjasama melalui BRICS adalah seperti berikut:

  1. Ekonomi: Negara-negara BRICS kini mempunyai populasi gabungan kira-kira 3.5 bilion, atau 45 peratus penduduk dunia di mana jika digabungkan dari segi ekonomi, ia bernilai lebih AS$28.5 trilion iaitu kira-kira 28 peratus daripada ekonomi global. Oleh itu, ia mempunyai pengaruh besar di peringkat global.
  2. Politik: BRICS mempunyai keupayaan untuk mempromosikan sistem politik yang lebih adil dan inklusif, yang mencerminkan kepentingan negara-negara yang menganggotainya. Negara-negara BRICS ini seringkali menyatakan pendirian dan pendapat dalam pelbagai platform peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
  3. Pembangunan Sosial: BRICS juga memberikan fokus kepada isu-isu sosial seperti kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan. Negara-negara anggota sering bertukar pengalaman dan kebijaksanaan mengendalikan cabaran pembangunan di negara masing-masing.
  4. Institusi Kewangan: BRICS telah mewujudkan institusi kewangan mereka sendiri seperti New Development Bank (NDB) dan Contingent Reserve Arrangement (CRA) sebagai pemangkin projek-projek infrastruktur dan pembangunan di atas sebab mahu melihat ‘suara dan perwakilan yang lebih besar’ untuk ekonomi baharu muncul. Pengwujudan ini juga adalah kerana BRICS berpendapat bahawa negara-negara Barat menguasai badan-badan global yang penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang meminjamkan wang kepada kerajaan-kerajaan.

Sidang kemuncak BRICS diadakan secara berkala dan menjadi platform utama bagi negara-negara anggota berbincang dan menyusun strategi kerjasama dalam pelbagai bidang. Brazil dan Rusia pernah mencadangkan untuk mewujudkan mata wang BRICS, bagi mengurangkan dominasi Dolar Amerika. Namun, perkara itu tidak dibincangkan pada Sidang Kemuncak 2023 kumpulan itu di Afrika Selatan, Ogos lalu.

Berdasarkan Matriks Keselamatan Negara yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, Matriks ke-5 (Keutuhan Ekonomi) telah menggariskan bahawa terdapat keperluan bagi Malaysia berusaha menjamin kemampanan ekonomi melalui kecekapan pengurusan sumber pendapatan negara. Ia bermatlamat supaya kemakmuran ekonomi dapat dihasilkan dan dinikmati oleh rakyat Malaysia. Sekiranya ekonomi yang utuh dapat dihasilkan, impaknya akan dapat dilihat dengan peningkatan kadar tukaran mata wang ringgit berbanding dollar.

Secara amnya, penyertaan Malaysia di dalam BRICS berpotensi membawa banyak manfaat. Namun ianya memerlukan pertimbangan yang sewajarnya terutamanya bagi menangani risiko dan cabaran yang mungkin dihadapi. Di antara implikasi yang mungkin boleh terjadi melalui penyertaan Malaysia ke dalam BRICS adalah seperti berikut:

  1. Ekonomi:
    1. Peningkatan perdagangan dan pelaburan
    2. Akses kepada pembiayaan pembangunan
    3. Pemindahan teknologi dan inovasi
  2. Politik:
    1. Peningkatan pengaruh dan tekanan antarabangsa
    2. Diplomasi pelbagai hala (multilateral) yang lebih kukuh
  3. Sosial:
    1. Kerjasama dalam pembangunan sosial
    2. Pertukaran budaya
  4. Cabaran dan risiko:
    1. Kepentingan yang berbeza
    2. Reaksi dari negara lain
    3. Komitmen dan kewajipan

Professor Geoffrey Williams, seorang pakar ekonomi terkemuka menyatakan bahawa wujud peluang perdagangan serta pelaburan dengan BRICS yang mampu mewujudkan permintaan terhadap ringgit termasuk mengukuhkan mata wang ringgit dari semasa ke semasa. Fleksibiliti yang disediakan BRICS akan membolehkan Malaysia mengemudi isu geopolitik sambil mengekalkan pendirian yang tidak memihak serta bebas. Ini penting dalam mengekalkan portfolio yang pelbagai dalam perdagangan dan pelaburan Malaysia.

 

Sumber:

  1. https://www.facebook.com/share/p/62RE1CWpvtzJQf4w/?mibextid=NoJtEM
  2. https://www.sinarharian.com.my/article/670566/berita/nasional/anwar-nyatakan-hasrat-malaysia-sertai-brics-kepada-presiden-brazil
  3. https://www.aljazeera.com/economy/2024/6/18/malaysias-anwar-flags-brics-membership-praises-xi-as-outstanding-leader#:~:text=Founded%20in%202006%2C%20the%20grouping,United%20Arab%20Emirates%20(UAE)
  4. https://www.sinarharian.com.my/article/670634/berita/nasional/brics-wakili-hampir-separuh-penduduk-dunia?utm_source=izooto&utm_medium=push_notifications&utm_campaign=BRICS%20wakili%20hampir%20separuh%20penduduk%20dunia
  5. https://www.sinarharian.com.my/article/670618/berita/nasional/malaysia-bakal-dapat-manfaat-daripada-brics—pakar-ekonomi

 

Artikel/Berita Terkini

#ADDINAHAD: TUJUH SEGERA YANG DISUKAI ALLAH SWT

Tujuh (7) Segera Yang Disukai Allah SWT Segera Bertaubat  Segera Menunaikan Solat  Segera Memberi Sedekah  Segera dalam Melakukan Kebaikan  Segera Membayar …
Maklumat Lanjut

8 BUAH TRELER SERTA KELAPA SELUDUP BERNILAI RM8.3 JUTA DITUMPASKAN PGA

Pada 6 Februari 2025 (Khamis), Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara, berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kelapa di Tumpat …
Maklumat Lanjut

CUBAAN SELUDUP POKOK BONZAI HITAM BERNILAI RM2.3 JUTA DI KELANTAN

Pada 6 Februari 2025 (Khamis), Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara, berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan tanaman hiasan dalam …
Maklumat Lanjut