MAKLUMKAN SEGERA SEKIRANYA KAWASAN PERUMAHAN ATAU KAMPUNG DINAIKI AIR

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkan SESB sekiranya kawasan perumahan atau kampung dinaiki air banjir berikutan hujan lebat yang melanda dikebanyakan kawasan di Sabah supaya bekalan elektrik dapat dihentikan oleh SESB.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Yaakob Jaafar berkata, penutupan bekalan itu adalah kritikal untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Beliau turut memaklumkan bahawa SESB sedang giat berusaha untuk memastikan bekalan elektrik yang ditutup di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah yang dilanda banjir kilat dapat dipulihkan semula secara berperingkat.

“Pemulihan semula bekalan akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada akses, keadaan setempat dan juga faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna untuk mengamalkan beberapa panduan keselamatan elektrik bagi mengelak kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

“Antaranya adalah hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama di premis ditutup apabila premis dinaiki air.

“Jangan menyentuh peralatan, tiang besi atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun bersalut dengan penebat untuk mengelakkan renjatan elektrik.

“Sekiranya diarahkan untuk berpindah, pastikan suis utama di premis kediaman dimatikan,” katanya.

Beliau menasihati agar pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik.

Katanya, sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem berkenaan sebelum keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk terus menghubungi SESB di talian 15454, Whatsap 019- 8525427, 088- 515000,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …