Kematian secara mengejut dalam kalangan individu aktif bersukan mungkin berita memeranjatkan kerana masalah jantung sering dikaitkan dengan tabiat tertentu seperti tidak bersenam atau menjaga makan.
Hakikatnya serangan jantung atau penyakit kardiovaskular boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil berat kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan secara berkala. Penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi adalah ‘pelaku’ sebenar yang mendorong kepada masalah jantung tanpa disedari.
Gaya hidup yang kurang sihat seperti merokok dan faktor di luar kawalan seperti keturunan turut menyumbang masalah itu. Mengikut kajian, empat daripada lima individu tidak menyedari mereka mengalami kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Gejala sakit jantung membabitkan sakit dada sama ada di bahagian tengah atau kiri dada, iaitu dada terasa berat seolah-olah ditekan atau dicengkam.
Mengalami sesak nafas atau mengah yang lebih daripada setengah jam akibat aktiviti seperti menaiki tangga atau berjalan laju, diikuti berpeluh. Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun ketika seseorang itu sedang berehat.
Sehubungan itu, para doktor menyarankan individu berusia 30 tahun ke atas menjalani pemeriksaan bagi mengesan ketiga-tiga masalah berkenaan sekali setiap tahun. Individu yang mempunyai sejarah serangan jantung dalam kalangan keluarga terutama ibu bapa juga perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun. Serangan jantung adalah pembunuh nombor satu berbanding penyakit jantung lain yang dikaitkan dengan amalan atau gaya hidup kurang sihat serta keturunan.
Gaya hidup dan pemakanan sihat termasuk mengurangkan gula, garam, lemak dan makan secara sederhana dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, kolesterol dan gula tinggi serta serangan jantung. Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, membantu mengurangkan risiko 40 peratus, selain menguatkan jantung dan melancarkan peredaran darah,Mereka yang mempunyai kolesterol tinggi dan sukar diturunkan akibat faktor genetik disarankan makan ubat bagi mengawal kolesterol, pemakanan atau gaya hidup sihat.
Setakat ini, tiada bukti makanan tambahan yang dijual di pasaran boleh mengurangkan kolesterol. Oleh itu, makan makanan segar seperti ikan kembung yang kaya dengan minyak ikan serta Omega 3.
SUMBER: BERITA HARIAN