Secara amnya, pengurusan tenaga dapat digambarkan sebagai semua aktiviti untuk memastikan penggunaan tenaga yang cekap dalam organisasi dan ia diperlukan kerana pengaruhnya terhadap operasi dan aktiviti. Dengan kata lain, pengurusan tenaga adalah proses menguruskan penggunaan tenaga dalam organisasi bagi memastikan bahawa tenaga telah digunakan dengan cekap melalui penggunaan sistem pengurusan tenaga untuk mencapai hasil yang diharapkan dan untuk peningkatan prestasi penggunaan tenaga secara berterusan. Pengurusan tenaga dalam organisasi merangkumi semua aspek tenaga termasuk manusia dan peralatan dalam operasi harian tenaga menggunakan fasiliti. Manakala Pengurusan Tenaga Lestari adalah proses berterusan dalam menguruskan penggunaan tenaga dalam organisasi untuk memastikan bahawa tenaga telah digunakan dengan efisien menggunakan sistem pengurusan tenaga untuk mencapai hasil yang dihajatkan serta untuk peningkatan berterusan. Ini merangkumi semua aspek tenaga yang merupakan manusia dan peralatan dalam operasi harian kemudahan tersebut.
Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat.
Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.
Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.
Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.
Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.
Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.
Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.
Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.
Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.
Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.
Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.
Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.
Umumnya, teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.
Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama.
Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi.
Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan.
Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.
Sumber: BERITA HARIAN