PEJABAT MENTERI BESAR KEDAH TEKUNI MINDA KESELAMATAN MELALUI PERMAINAN PAPAN

Usaha memupuk minda keselamatan melalui permainan papan diteruskan lagi dengan kali ini, MKN Kedah berpeluang menyantuni warga kerja Pejabat Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon. MKN Kedah amat berbesar hati kerana dijemput untuk menyampaikan perkongsian mengenai isu-isu keselamatan semasa di negeri Kedah di dalam satu sesi kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar Kedah. Seperti kebiasaannya, MKN Kedah menggunakan kaedah santai dalam menyampaikan maklumat berkenaan dengan isu keselamatan negara kepada hampir 40 orang peserta yang hadir.

Seperti selalunya, MKN Kedah menggunakan permainan papan sebagai medium untuk menyampai dan menerangkan isu-isu keselamatan di negeri Kedah ini khususnya mengenai Dasar Keselamatan Negara 2021-2025. Inisiatif sebegini membolehkan para peserta menerima dan memahami konsep keselamatan dengan lebih mudah dan berkesan sesuai dengan situasi keselamatan pada masa kini yang semakin kompleks dan bersifat dinamik. Beberapa modul baharu diperkenalkan melalui permainan papan Hegemony, Daybreak dan The British Way yang memfokuskan kepada Teras Keselamatan Rakyat, Pengurusan Ekonomi, Pembangunan Mampan dan Tadbir Urus yang Baik dan dilihat lebih sesuai dan bertepatan dengan para peserta yang hadir di kalangan petugas pejabat YAB Menteri Besar Kedah.

Para peserta juga telah dijelaskan mengenai kepentingan setiap kelompok masyarakat dalam memahami isu keselamatan dan memainkan peranan dalam mendepani isu-isu setempat. Selain itu, konsep kenegaraan dan kedaulatan juga diberi perhatian bagi memupuk kesedaran kepada para peserta dalam memastikan setiap individu diterapkan dengan semangat cintakan negara dan tanah air selain memberi penekanan kepada konsep kebersamaan Persekutuan dan Negeri.

Sesi perkongsian tersebut dimulakan dengan perkongsian oleh Encik Bakhtiar Effendy Khalid manakala Encik Mior Ahmad Shah Mior Shahidin dan Encik Mohd Nurul Hasri Abdullah Hashim mengisi garapan di dalam sesi yang berlangsung sehingga lewat petang. Turut hadir di dalam program ini ialah Pengarah Keselamatan Negeri Kedah, Puan Zuraini Mohd Yusof.

Melihatkan kepuasan di wajah para peserta yang hadir seusai program berakhir, MKN Kedah percaya bahawa program injeksi yang sebegini mampu memupuk minda keselamatan dengan lebih meluas dan teratur sesuai dengan kelompok yang disasarkan.

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut