10,160 CALON TAK HADIR PEPERIKSAAN, USAH NORMALISASI ‘TANPA SPM PUN MAMPU BERJAYA’

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik apabila seramai 11,713 daripada 373,525 calon memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 10,109 daripada 373,974 calon pada 2022. Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 juga meningkat kepada 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.

Walau apa pun keputusan diperoleh calon, ibu bapa dan ahli keluarga wajar bersyukur serta meraikannya sebagai tanda sokongan kepada lepasan SPM kerana komited serta sanggup berkorban masa dan keseronokan zaman remaja untuk menduduki peperiksaan antara terbaik di peringkat antarabangsa.

Ucapan terima kasih dan penghargaan juga sepatutnya diberikan kepada guru, pengurusan sekolah yang bertungkus-lumus, gigih, bersemangat serta tidak pernah jemu berusaha mendidik, membimbing, menasihat dan memberi dorongan kepada calon supaya berusaha baik mungkin menjawab soalan peperiksaan demi mendapat keputusan membanggakan.

Namun agak menyedihkan apabila seramai 10,160 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu dan dikatakan ia berlaku disebabkan ada yang sudah bekerja, berkahwin, sakit, terbabit kemalangan atau terbabit bencana alam. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan komited untuk mencari jawapan di sebalik apa yang berlaku ini.

Saban tahun ribuan calon SPM didapati tidak hadir menduduki peperiksaan SPM, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana nasib mereka pada masa depan. Tanpa sijil SPM, peluang mencari kerja yang baik mungkin lebih terhad. Kebanyakan majikan di Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya sijil SPM sebagai syarat minimum untuk diambil bekerja.

Sijil SPM menjadi jaminan untuk meneroka peluang lebih baik dalam pekerjaan atau menyambung pengajian. Usah melonggarkan prinsip hidup atau menormalisasikan tanggapan ‘tanpa SPM pun mampu berjaya’ dalam diri pelajar dan remaja kerana ia mampu menggugat masa depan generasi akan datang untuk bersaing, merebut apa juga peluang apatah lagi menjadi pemimpin masa depan.

Lepasan SPM, ibu bapa dan keluarga calon perlu sedar ketika kita kini hidup dalam era digitalisasi, peluang dan ruang hadir begitu pantas. Tanpa sijil akademik berwibawa untuk dijadikan sandaran, pasti akan timbul kesulitan di kemudian hari jika mahu mengubah nasib diri pada hari mendatang.

Keputusan SPM diperoleh hari ini adalah permulaan kepada calon untuk menentu dan mencorakkan jalan hidup kepada dunia sebenar. Ibu bapa perlu memberi dorongan kepada pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka selepas menamatkan SPM terutama yang memperoleh keputusan membanggakan.

Namun bagi calon yang mungkin terkandas, masih ada banyak laluan boleh diteroka untuk meningkatkan potensi diri terutama dalam bidang kemahiran dan keusahawan ditawarkan kerajaan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

AIDILFITRI: 1.6 JUTA KENDERAAN DIJANGKA GUNA LEBUH RAYA DI SELURUH SELANGOR

KAJANG, 25 Mac – Kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka keluar serta masuk ke Selangor sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini. Ketua …
Maklumat Lanjut

SUMBANGAN ASAS RAHMAH (SARA) DIPERLUAS KEPADA 5.4 JUTA PENERIMA BERMULA 1 APRIL 2025

Bermula 1 April 2025, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima! Bantuan akan dikreditkan secara bulanan ke …
Maklumat Lanjut

AIDILFITRI: 810,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK NEGERI SEMBILAN

Polis Negeri Sembilan menjangkakan 810,000 kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini. Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, …
Maklumat Lanjut