PERKAMPUNGAN HARAM ETNIK ROHINGYA DI SENTUL DISERBU

KUALA LUMPUR: Menjadikan tanah milik kerajaan sebagai kawasan perkampungan haram yang dihuni warga asing dengan sebahagian besarnya adalah etnik Rohingya.

Malah, penempatan yang dibina di Sentul, di sini dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

Bukan itu saja, mereka turut menjadikan kawasan berkenaan seperti di kampung halaman dengan bercucuk tanam dan memelihara ternakan selain mempunyai kemudahan kedai runcit sendiri.

Bagaimanapun, penempatan haram itu diserbu pihak berkuasa Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi bersepadu tengah malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam, terdapat segelintir warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah dan bersembunyi di sebalik timbunan besi, namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, berkata serbuan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membabitkan kekuatan 229 pegawai serta anggota.

Beliau berkata, seramai 124 warga asing ditahan untuk pemeriksaan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan India.

Katanya, penempatan haram itu dihuni oleh warga asing yang sebahagiannya sudah berkeluarga iaitu mempunyai isteri dan anak serta dari Myanmar dipercayai etnik Rohingya.

“Pemeriksaan mendapati terdapat lebih 20 rumah dan lima unit kedai runcit dibina yang menjual barangan keperluan penghuni seperti sirih kapur serta minyak masak paket bersubsidi.

“Hasil soal siasat awal, warga asing terbabit mendakwa menyewa rumah ini daripada warga tempatan dengan kadar sewa RM400 sebulan. Malah ada mendakwa sudah tinggal di sini sejak lebih tiga hingga empat tahun lalu.

“Semakan mendapati, kawasan berhampiran sebelum ini adalah kawasan setinggan yang didiami penduduk tempatan tapi kini berlaku pencerobohan tanah dan rumah disewakan kepada warga asing,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha.

Mengulas lanjut, Roslin berkata, semakan mendapati kawasan penempatan haram itu dibina atas tanah milik DBKL dan pihaknya dengan kerjasama agensi terbabit akan mengesan warga tempatan yang disyaki membina penempatan berkenaan serta menyewakan kepada warga asing.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan akan dijalankan proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak Imigresen Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut