WASHINGTON: Satu penyelidikan mendapati kes darah beku akibat pengambilan vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) dan AstraZeneca Plc (AZ) berpunca daripada tindak balas autoimun berkaitan genetik, membabitkan sesetengah orang.
Melalui catatannya kepada New England Journal of Medicine, Ketua Imunologi di Flinders University di Australia Selatan, Prof Tom Gordon, menyifatkan kajian itu akan membantu dalam aspek pembangunan vaksin pada masa depan.
Katanya, melalui penyelidikan itu, saintis mendedahkan vaksin berasaskan adenovirus, termasuk J&J dan AZ, mengandungi komponen yang boleh menyebabkan pembekuan darah pada individu yang secara genetik mudah terdedah.
“Kita masih belum mengetahui berapa ramai yang mungkin terdedah kepada komplikasi ini, namun pihak saintis kini sedang cuba mengenal pasti punca selain mengatasi masalah itu menggunakan kejuruteraan genetik,” katanya.
Walaupun kes darah beku itu jarang berlaku, ia boleh mengundang maut.
Sebelum ini, syarikat farmaseutikal global Britain dan Sweden, AstraZeneca,Β menarik balik vaksin COVID-19 di seluruh dunia.
Keputusan menarik balik itu dipercayai dibuat selepas syarikat terbabit mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan darah beku iaitu kesan sampingan yang jarang berlaku lagi berbahaya.
Dalam dokumen yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, ia membuat beberapa pengakuan.
Antaranya, ia menyatakan vaksin COVID-19 buatannya ‘boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau ‘Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome’ iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.
Pada masa sama, Gordon berkata, reaksi imun yang dikaitkan dengan suntikan vaksin itu adalah suatu penyakit baharu.
“Saya yakin apabila pakar hematologi dan pakar rawatan rapi sudah biasa dengan keadaan ini, lebih banyak kes dapat difahami,” katanya.
Sementara itu, menurut Yale School of Medicine, hanya 60 kes darah beku dilaporkan dengan sembilan maut, daripada lebih 18 juta orang yang menerima vaksin dos tunggal J&J.
Bagi AZ pula, sebilangan kecil kematian akibat darah beku yang dikaitkan dengan vaksin itu menyebabkan penarikan balik penggunaannya di Denmark, Norway dan beberapa negara lain pada 2021.
Komplikasi itu berlaku pada kira-kira dua hingga tiga orang dalam setiap 100,000 penerima vaksin AZ di bawah usia 60 tahun di Australia, sebelum ia ‘diharamkan’ di negara itu sejak Mac 2023.
Suruhanjaya Eropah (EU) juga menarik balik kebenaran pemasaran untuk imunisasi itu pada Mac lalu.
Sebelum ini, jurucakap AZ, menerima baik sebarang pemeriksaan lanjut mengenai kemungkinan vaksin itu menyebabkan sindrom TTS.
J&J turut menyokong sebarang penyelidikan yang berupaya membangunkan vaksin yang lebih selamat lagi berkesan.
“Lebih banyak data diperlukan untuk memahami sepenuhnya faktor yang mungkin dikaitkan dengan kejadian ini, termasuk kemungkinan hubungannya dengan virus lain, untuk membuat kesimpulan yang sesuai,” katanya.
Terdapat satu analisis sebelum ini yang mendapati vaksin AZ menyelamatkan kira-kira 6.3 juta nyawa pada 2021.
SUMBER: AGENSI / BH