Pada 4 Oktober 2023, Public Health Malaysia telah menggunakan platform media social facebook bagi membuat tinjauan punca yang menjejaskan kesihatan mental penduduk Malaysia dan 40% daripada responden memilih isu kesihatan sebagai punca masalah kesihatan mental.
Tidak dapat dinafikan kewangan adalah faktor penting kemandirian manusia. Ini menyebabkan apa saja masalah kewangan boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
Beberapa cara masalah kewangan boleh menjejaskan kesihatan mental termasuk kehilangan pekerjaan, menghadapi masalah membayar bil atau hutang, dan ketidaktentuan kewangan semuanya boleh menyebabkan tekanan yang ketara. Ketidakstabilan kewangan boleh menyebabkan kebimbangan yang berlebihan tentang masa depan. Perkara ini mungkin menjadi pendorong kepada tekanan kronik yang boleh mencetuskan kesihatan mental terjejas seperti kebimbangan dan kemurungan.
Selain daripada itu. masalah kewangan juga boleh memberi kesan kepada perhubungan dan keluarga. Konflik kewangan boleh menyebabkan keretakan dalam perhubungan dan ini juga boleh menjejaskan kesihatan mental.
Kini, bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia sedang menghadapi krisis ekonomi yang menyebabkan harga barang semakin mahal sekaligus berlaku peningkatan kos sara hidup. Apabila kita bercakap mengenai peningkatan kos sara hidup, ia sangat berkait rapat dengan kesihatan mental.
Merujuk kepada artikel yang diterbitkan Harian Metro pada 5 Julai 2022 oleh Muhamaad Razis Ismail bertajuk ‘Ekonomi jatuh, mental luruh’. Kedudukan ekonomi, kerjaya, kestabilan sumber pendapatan, kesejahteraan tempat tinggal, bilangan tanggungan dan bebanan hutang antara faktor yang akan menentukan status kesihatan mental seseorang.
Selain itu, individu yang mengalami masalah kewangan sering berasa malu dan rendah diri. Mereka mungkin berasa seperti mereka gagal dalam hidup mereka dan ini boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk menguruskan kewangan dengan baik dan mendapatkan bantuan jika diperlukan. Terdapat banyak sumber yang tersedia seperti kaunselor, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan sebagainya yang sedia untuk membantu anda merancang pengurusan kewangan anda seterusnya membantu anda mendapat celik akal untuk menangani masalah kewangan dan mengekalkan kesihatan mental yang baik.
Bak kata pepatah ‘Memang betul duit tidak boleh selesaikan semua masalah, tetapi hampir semua masalah boleh diselesaikan kalau ada duit’.
Sumber : kosmo.com.my, Bahagian Kaunseling UPM