SINDIKET DADAH BELI GANJA 100KG SEMINGGU DARI NEGARA JIRAN – POLIS KL

KUALA LUMPUR: Satu sindiket pengedaran dadah di ibu negara dikesan ‘mengimport’ ganja daripada negara jiran sehingga 100 kilogram (kg) seminggu dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Modus operandi itu terbongkar susulan penahanan lapan suspek, termasuk dua wanita dalam enam serbuan secara berasingan di sekitar ibu negara pada Khamis lalu dan semalam.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas sejumlah 94.8kg ganja dianggarkan bernilai RM293,830.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan membuat pesanan ganja daripada pembekal di negara jiran menerusi aplikasi Telegram.

Katanya, sindiket itu didapati membuat pesanan ganja antara 30kg hingga 100kg seminggu pada harga antara RM800 hingga RM1,000kg bergantung kepada gred dan dadah diseludup masuk ke negara ini dengan perkhidmatan kurier.

“Sindiket ini menjual semula ganja berkenaan dalam pelbagai bentuk dan berat kepada pembeli termasuk dalam bentuk kek ‘brownie’ dan pesanan akan dihantar kepada pelanggan menggunakan syarikat kurier tempatan.

“Suspek menggunakan beberapa ‘runner’ untuk menghantar dadah itu ke syarikat kurier untuk penghantaran ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati sindiket itu aktif sejak dua tahun lalu dan menyewa kondominium mewah dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Menerusi serbuan itu juga, kita turut merampas beberapa paket makanan arnab dan kita percaya antara modus operandi sindiket ini antaranya mengirim dadah dalam bungkusan makanan arnab untuk mengaburi syarikat kurier dan pihak berkuasa.

“Semua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu tiada pekerjaan tetap dan menjadikan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” katanya yang turut memaklumkan polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket itu yang masih bebas.

Rusdi berkata, menerusi serbuan itu juga polis turut merampas wang tunai RM34,000, sebuah motosikal serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 April ini, manakala tiga lagi suspek terpaksa dibebaskan kerana polis tidak berjaya membuat permohonan reman ke atas mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk modus operandi ganja itu diseludup masuk ke negara ini,” katanya semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan jenayah, selain dua suspek didapati positif dadah jenis ganja.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

WASPADA PENIPUAN TAWARAN RUMAH SABAH MAJU JAYA, PPRT

SANDAKAN (2 Mei): Penduduk kawasan Batu Sapi dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan mengenai pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), …
Maklumat Lanjut

PENGUSAHA PELANCONG DIMINTA CARI PELABUR MAJUKAN KAWASAN PELANCONGAN

TAWAU (2 Mei): Pengusaha pusat pelancongan perlu mencari pelabur sama ada dari dalam atau luar negara supaya boleh memajukan kawasan …
Maklumat Lanjut

ENAM LELAKI DITAHAN, DADAH BERNILAI LEBIH RM120,000 DIRAMPAS DI TAWAU

TAWAU (2 Mei): Polis menahan enam lelaki dengan merampas kira-kira dua kilogram dadah jenis syabu dalam kejadian di Kampung Indera …
Maklumat Lanjut