HAJIJI ARAH BEKALAN AIR DIAGIHKAN KEPADA 58,080 KETUA ISI RUMAH DI 12 DAERAH TERJEJAS AKIBAT KEMARAU

KOTA KINABALU (27 Mac): Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan bekalan air diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri yang terjejas akibat kemarau berpanjangan.

Beliau berkata, bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau. Menurutnya, loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan.

Hajiji berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan,” katanya sambil menambah bahawa kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.

Beliau berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini. Peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri. Daripada jumlah ini, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Hajiji menambah, sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Sabah News Today

 

Artikel/Berita Terkini

MCMC SEDANG MENGESAN INDIVIDU TERLIBAT DALAM PENYALAHGUNAAN TEKNOLOGI AI YANG MENYUNTING GAMBAR SEHINGGA MENGAIBKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL

MCMC SEDANG MENGESAN INDIVIDU TERLIBAT DALAM PENYALAHGUNAAN TEKNOLOGI AI YANG MENYUNTING GAMBAR SEHINGGA MENGAIBKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL Suruhanjaya Komunikasi dan …
Maklumat Lanjut

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut