DOKUMEN PENGENALAN DIRI TUNGGAL TANGANI ISU PELARIAN FILIPINA DI SABAH

KUALA LUMPUR (26 Mac): Isu pengurusan pelarian Filipina di Sabah yang dikatakan sudah berada di negeri itu sejak 1970-an dengan bilangannya kini mencecah 136,055 orang akan ditangani menerusi dokumen pengenalan diri tunggal.

Ia diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah.

Jumlah pelarian itu dikenal pasti melalui data semak silang antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sabah serta Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Daripada jumlah itu, seramai 51,645 orang pelarian memegang dokumen IMM13, manakala 47,518 orang memegang Sijil Banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan dan 36,892 orang lagi memegang dokumen Resit Pengenalan Sementara Jabatan Ketua Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan memandang serius status dan masa hadapan golongan berkenaan.

Beliau berkata ia diterjemahkan melalui forum Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah yang merangkumi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal.

Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri manakala di peringkat Jawatankuasa Teknikal pula dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Jawatankuasa ini bertindak sebagai platform untuk meneliti dan merancang hala tuju pelarian Filipina di Sabah.

“Jawatankuasa juga mengesyorkan agar pendataan semula dibuat terhadap mereka merangkumi pengambilan biometrik dan gambar untuk simpanan profil mereka yang terkini dan teratur. Ini membolehkan kedudukan dan status mereka juga dikesan semula.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan supaya satu dokumen pengenalan diri tunggal diaplikasikan bagi memudahkan pengurusan pelarian Filipina di Sabah pada masa hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-TUARAN] yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa bilangan serta apakah masa depan kehadiran pelarian Filipina di Sabah yang sudah berada di Sabah sejak awal 70-an.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Berita Harian

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SIMULASI KEBAKARAN PERUMAHAN ATAS AIR DAN PENTAULIAHAN BOMBA KOMUNITI TANJUNG BATU SECARA KOLABORASI DI ANTARA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA NEGERI SABAH BERSAMA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI SABAH

TAWAU (16 Mei 2024): Selaras dengan objektif meningkatkan kesedaran dalam menjaga keselamatan komuniti, MKN Sabah bersama JBPM Sabah dengan sokongan …
Maklumat Lanjut

‘RUMAH MADU’ PERTAMA DI TERENGGANU

Menyebut mengenai madu, pasti ramai yang akan melenting jika tersalah tafsir terutamanya golongan para isteri kerana terfikir bahawa madu yang …
Maklumat Lanjut