BANTUAN TIKET PENERBANGAN DISALUR KE AKAUN PELAJAR DALAM MASA TERDEKAT: HAJIJI

Hajiji bersama mahasiswa mahasiswi pengajian tinggi pada Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa/Mahsasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia di Setia Spice Convention Centre semalam. – Gambar BERNAMA

GEORGE TOWN: Bantuan sekali bayar RM600 bagi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar dari Sabah akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pelajar dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ia berikutan kerajaan negeri mempunyai data semua pelajar yang layak mendapat bantuan berkenaan.

Hajiji juga berharap inisiatif yang melibatkan peruntukan RM10 juta itu dapat meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli tiket penerbangan khususnya ketika kecemasan dan perayaan.

“Memandangkan harga tiket yang agak mahal dan bagi sesetengah pelajar yang tidak berkemampuan ia satu beban, kerajaan negeri akan membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas di sini malam tadi, yang turut dihadiri kira-kira1,400 pelajar Sabah yang menuntut di IPT di Semenanjung.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan kerajaan Sabah akan memberikan subsidi sekali bayar RM600 bagi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar dari Sabah yang belajar di IPT di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memaklumkan Kumpulan Yayasan Sabah memperuntukkan RM67.4 juta tahun ini bagi membolehkan lebih ramai anak negeri itu melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu meningkat berbanding RM53.8 juta pada tahun lepas sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf kualiti kehidupan dan pendidikan rakyat Sabah.

“Kerajaan negeri juga menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi meringankan beban mahasiswa dan mahasiswi yang melanjutkan pengajian ke IPT,” katanya.

Menurutnya pelbagai inisiatif bantuan turut diperkasa termasuk untuk anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI).

Beliau berkata sejumlah 124,141 pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu telah mendapat bantuan dengan perbelanjaan sebanyak RM952.2 juta melalui Kumpulan Yayasan Sabah sejak 1967 merangkumi pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi. – BERNAMA.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

 

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut