Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga Pegawai Daerah yang dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ).
Tiga Pegawai Daerah yang menerima kurniaan Darjah Kebesaran tersebut adalah Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Segamat; Encik Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai dan Encik Mohd Farid Kassim, Pegawai Daerah Tangkak.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato’ Dennis Muhammad Abdullah dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Dato’.
Antara penerima lain adalah Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Roslee Mardofee, Juruterbang Peribadi Sultan Johor; Yang Berhormat Brigedier Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima 7 Briged dan Yang Berhormat Dato’ Ong Eng Leong, Pengurus Besar Mados’s Sdn. Bhd. dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Dato’.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran dan Majlis Kurniaan Darjah Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.