TIPS KESIHATAN KEPADA PESAKIT DIABETES KETIKA BERPUASA

Apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam akan menjalankan ibadah berpuasa. Begitu juga dengan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes. Menghidap penyakit diabetes bukan alasan untuk seseorang pesakit itu tidak berpuasa. Namun, pesakit diabetes tidak diwajibkan berpuasa jika berpuasa boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri mereka. Walau bagaimanapun kajian menunjukkan pesakit diabetes tetap mahu berpuasa walaupun pengecualian diberikan kepada mereka yang berkenaan.
Sebelum berpuasa, pesakit perlu dinilai keadaan kesihatan secara keseluruhan, pengawalan paras gula, penyakit-penyakit kronik lain yang ada, dan komplikasi yang hadir untuk mengetahui risiko pesakit apabila berpuasa dan juga untuk mengoptimumkan pengurusan rawatan penyakit. Pesakit harus mengetahui status penyakit mereka dan apa yang perlu dilakukan semasa berpuasa untuk memastikan ibadah berpuasa berjalan dengan lancar.
Siapakah golongan pesakit yang tidak digalakkan berpuasa?
Pesakit diabetes perlu mengetahui status kesihatan mereka sebelum berpuasa. Berikut adalah golongan pesakit yang tidak digalakkan berpuasa:
a) Pesakit diabetes jenis 1
b) Mengalami hipoglisemia serius dalam masa 3 bulan terakhir atau selalu mengalami hipoglisemia
c) Pesakit yang mengalami diabetik ketoasidosis dalam 3 bulan terakhir
d) Pesakit yang hamil dan memerlukan suntikan insulin
e) Pesakit yang tidak tahu mengenali tanda-tanda hipoglisemia
f) Pesakit yang mengalami komplikasi diabetes yang serius
g) Pesakit dengan paras gula darah tidak terkawal
h) Pesakit diabetes yang menjalani dialisis
i) Pesakit yang tua dan tinggal bersendirian
Bila perlu berbuka puasa?
Pesakit perlu berbuka puasa serta-merta apabila mengalami keadaan-keadaan seperti berikut:
a) Paras gula dalam darah ❤.9 mmol/L pada bila-bila masa sewaktu berpuasa
b) Paras gula dalam darah ❤.9 mmol/L selepas beberapa jam mula berpuasa
c) Paras gula dalam darah >16.7mmol/L
d) Mengalami gejala-gejala hipoglisemia (pesakit tanpa bacaan paras gula)
e) Mengalami gejala dehidrasi yang teruk seperti pengsan atau keliru.
f) Sakit (demam, jangkitan kuman, dan sebagainya)
Tanda-tanda Hipoglisemia (paras gula RENDAH dalam darah)
Hipoglisemia adalah keadaan paras gula dalam darah yang terlalu rendah. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan dalam rawatan diabetes atau suntikan insulin berisiko untuk mengalami kejadian ini. Antara gejala-gejala hipoglisemia adalah seperti rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, pening, dan dalam keadaan serius, koma (tidak sedarkan diri) boleh berlaku.
Antara sebab-sebab hipoglisemia berlaku adalah pesakit makan terlalu sedikit, tidak ambil sumber karbohidrat yang mencukupi atau tidak makan selepas suntikan insulin, dos insulin atau ubat diabetes berlebihan dan aktiviti fizikal yang tidak dirancang.
Tanda-tanda Hiperglisemia (paras gula TINGGI dalam darah)
Hiperglisemia adalah keadaan paras gula yang tinggi dalam darah. Pesakit yang mengalami hiperglisemia boleh mengalami gejala-gejala seperti kerap kencing, sangat dahaga, loya, penglihatan kabur, letih dan mengantuk. Hiperglisemia boleh disebabkan oleh pesakit tidak menyuntik insulin atau dos ubat dalam rawatan diabetes tidak mencukupi, makan berlebihan, jatuh sakit atau mengalami tekanan.
Tanda Dehidrasi (kekurangan air). Pesakit diabetes juga berpotensi untuk mengalami keadaan dehidrasi semasa berpuasa. Antara gejala-gejala dehidrasi adalah rasa terlalu dahaga, kulit dan lidah menjadi kering, fikiran terganggu dan rasa hendak pitam apabila bangun.
Panduan Untuk Pesakit Diabetes Yang Dibenarkan Berpuasa
1. Pengubahsuaian cara pengambilan ubat diabetes ketika bulan Ramadan
Pesakit perlu maklum mungkin terdapat sedikit perubahan berkaitan dos dan cara pengambilan ubat diabetes semasa bulan Ramadan. Adalah penting untuk pesakit mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat atau ahli farmasi berkaitan pengubahsuaian dos ubat diabetes kerana keperluan dos dan tahap penyakit adalah berbeza bagi setiap pesakit. Perlu diingatkan, para pesakit haruslah berbincang dengan doktor dan ahli farmasi berkenaan sebarang pengubahsuaian dos yang ingin dilakukan.
2. Pemakanan
Pesakit diabetes dinasihatkan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang sepanjang bulan Ramadan. Kurangkan makanan yang berlemak tinggi seperti masakan berlemak yang menggunakan santan, ayam goreng, mi goreng dan lain-lain. Selain daripada itu, hadkan juga makanan yang tinggi kandungan garam.
Pesakit diabetes digalakkan mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks (nasi, roti, gandum, kacang) semasa sahur. Karbohidrat ringkas (susu, jus buah-buahan, minuman sirap) adalah lebih sesuai diambil semasa berbuka, diikuti dengan karbohidrat kompleks. Karbohidrat yang mengandungi serat yang tinggi digalakkan untuk setiap hidangan utama. Minum air yang cukup terutamanya ketika sahur untuk menggantikan air yang hilang ketika berpuasa.
3. Senaman
Pesakit digalakkan mengekalkan aktiviti fizikal harian seperti biasa. Aktiviti fizikal yang berlebihan tidak digalakkan terutamanya beberapa jam sebelum berbuka puasa. Sembahyang Tarawih juga boleh dianggap sebagai salah satu senaman ringan harian.
Kesimpulan
Secara umumnya, pesakit diabetes harus mengetahui risiko yang mungkin dialami sewaktu berpuasa. Jangan lupa bersahur dan dicadangkan lebih baik bersahur pada penghujung waktu berdekatan waktu subuh dan segerakan berbuka.
Dapatkan nasihat pengamal perubatan sebelum bulan Ramadan untuk mengetahui risiko hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi, cara mengoptimakan rawatan, perubahan cara makan ubat atau dos insulin dan cara pemakanan yang betul.

Namun, bagi mereka yang ingin berpuasa, sila lihat tip puasa untuk pesakit diabetes ini bagi mengelakkan gula dalam darah dari menjadi tidak terkawal.

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut