JADIKAN RAMADAN SEBAGAI PEMANCU TOLERANSI PERPADUAN KAUM.

Malaysia sebagai sebuah nusa dan gagasan yang unik dengan kepelbagaian etnik dan anutan agama, menuntut kebersamaan dan kesepakatan semua bangsa etniknya. Keterbukaan warga dalam meraikan kepelbagaian agama dan budaya menzahirkan kerencaman di bumi bertuah ini dalam mengeratkan persefahaman kaum, tuntasnya mewujudkan perpaduan nasional.

Tolerasi perpaduan ini hasil sisipan semangat nationalisme dan persefahaman berlunaskan undang-undang, di mana Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun, penganut agama lain masih lagi bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.

Sejarah turut membuktikan hormat-menghormati sesama kaum terhadap amalan agama dan budaya wujud utuh di negara ini, walaupun dasar ‘pecah dan perintah’ dititip erat oleh penjajah suatu masa dahulu. Amalan berbicara di dalam bahasa yang difahami semua, menghormati urusan keagamaan dan meraikan perayaan adalah hidangan unik konteks negara ini di mata dunia.

Ini semua dapat dibuktikan apabila tiada satu pun video keraian disambut oleh kepelbagaian etnik ditonjolkan dalam satu perayaan ditayangkan di mana-mana negara, selain Malaysia tercinta. Perpaduan yang utuh ini, jelas dicemburui banyak negara dan ini sesuatu yang perlu kita pertahankan. Dalam konteks ini, pegangan dan amalan agama serta budaya jelas sumber utama pemacu toleransi yang harus dihormati demi perpaduan nusa dan gagasan yang unik ini.

Kedatangan Ramadan juga boleh menjadi landasan penting untuk memacu kembali toleransi sesama kaum, walaupun dalam versi norma baharu. Meminta izin untuk makan, sedikit sebanyak menjentik naluri kemanusiaan. Ditambah pula tidak memakan sesuatu yang dilarang oleh pegangan agama dan budaya kaum lain, sedikit sebanyak mencerminkan kezahiran sifat tolerasi kita rakyat Malaysia.

Suasana setiakawan antara kaum dan agama mungkin kurang terhidang secara jelas seperti sebelum ini, dengan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mesti dilazimi. Namun begitu, juadah bubur lambuk yang sememangnya dinantikan seluruh rakyat Malaysia perlu terus dikekalkan pengagihannya sebagai tradisi tahunan. Amalan ini membibitkan kembali perpaduan antara kaum yang dicorakkan sejak dahulu lagi dengan implementasi agihan secara penjarakan fizikal dan sanitasi dalam setiap proses.

Bazar Ramadan walaupun secara amnya memfokuskan kepada juadah berbuka puasa, namun landskap beberapa tahun sebelum ini membuktikan bazar tahunan ini dikunjungi semua lapisan masyarakat yang beragama Islam atau pun bukan Islam.

Pilihan juadah yang lengkap menjadi tumpuan, namun toleransi yang ditonjolkan oleh rata-rata penganut bukan Islam dengan datang lebih lewat ke bazar Ramadan, mengelakkan berlakunya kesesakan ketika umat Islam membeli juadah untuk persiapan berbuka. Toleransi sama turut dilebarkan di tempat kerja. Pekerja bukan Islam akan mengambil peranan menyelesaikan tugasan di lewat hari untuk memberi peluang rakan sekerja Muslim berbuka puasa.

Ditambah pula dengan percaturan cuti rehat diutamakan untuk rakan supaya ada lebihan masa meraikan perayaan mereka dengan keluarga tercinta. Prinsip ini mencerminkan Ramadan tampak mencetuskan kembali sifat menghargai perbezaan satu sama lain dan saling hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan berbeza fahaman akidah.

Walaupun masyarakat Malaysia menganut agama tidak sama, tetapi kita masih menghargai perbezaan itu untuk menghela nafas di negara yang sama, terus melakar kemajuan dan mencipta kejayaan unggul dari semasa ke semasa. Itulah keunikan tradisi kita yang harus dilunaskan oleh setiap warga, malah menjaga kesinambungannya. Di sebalik perbezaan, kita masih boleh berkongsi apa yang ada. Semuanya direalisasikan menerusi toleransi dan untuk menghangatkan kembali, Ramadan adalah detik terbaik.

Oleh itu, kita rakyat Malaysia perlu menggunakan setiap peluang yang ada bagi memperkukuhkan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti membabitkan semua kaum. Usaha gigih yang berterusan bagi menggalakkan budaya keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara diperlukan dan Ramadan ini detik terbaik pencetus perpaduan dalam memacu kejayaan negara.

Sumber: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), BHarian

Artikel/Berita Terkini

SUAMI ISTERI DIDAKWA PERDAGANG DUA WANITA WARGA ASING

Suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi kerja, …
Maklumat Lanjut

PROGRAM PENGURUSAN KESELAMATAN BERASASKAN KOMUNITI (CBSM) DAERAH MEMBAKUT

Pada 27 April 2024 (Sabtu), MKN Sabah, melalui Pejabat Wilayah telah mengadakan Program Community  Based Security Management (CBSM) yang bertempat …
Maklumat Lanjut

‘JANGAN MUDAH TERPEDAYA TAWARAN PAKEJ PELANCONGAN MURAH DI MEDIA SOSIAL’ – MATTA

Sikap pengguna yang tidak membuat pemeriksaan menyeluruh latar belakang sesebuah syarikat yang menawarkan pakej pelancongan mendedahkan mereka kepada menjadi mangsa …
Maklumat Lanjut