KESIHATAN MENTAL : ANTARA STIGMA DAN IKHTIAR

PELBAGAI masalah dan tekanan yang dialami dalam kehidupan boleh meninggalkan kesan yang besar terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi insan. Tekanan yang tidak terkawal dan gagal diruskan berpotensi mengakibatkan penyakit mental iaitu gangguan kesihatan yang melibatkan perubahan pada pemikiran, emosi atau tingkah laku kesan daripada kesukaran untuk menanggung tekanan dalam rutin kehidupan. Lebih parah lagi, sekiranya gangguan mental tidak diberikan perhatian yang sewajarnya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain sehingga melibatkan kehilangan nyawa. Dalam situasi di tempat kerja misalnya, isu kesihatan mental yang tidak ditangani secara berhikmah boleh memberikan impak yang besar terhadap produktiviti organisasi. Masalah kesihatan mental di Malaysia menunjukkan trend peningkatan berdasarkan statistik individu yang mendapatkan sokongan bertambah lima kali ganda bagi 2022 berbanding 2020 menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Majlis Keselamatan negara Negeri Terengganu juga tidak terkecuali dalam menganjurkan taklimat berkaitan Kesihatan Mental pada tahun 2023 kepada semua warga MKN Terengganu.

Secara asasnya mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik akan berasa selesa dengan diri sendiri, selesa dengan orang lain dan boleh memenuhi serta menghadapi cabaran hidup seharian. Penjagaan kesihatan mental sama pentingnya dengan penjagaan kesihatan fizikal malah kedua-duanya saling berkaitan. Stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani ke arah usaha menuju kesaksamaan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental. Setiap individu terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan mental tanpa mengira usia dan jantina. Kesan penyakit mental sebenarnya lebih banyak mendatangkan keburukan dan bebanan kepada kita semua dalam pelbagai aspek kehidupan, khusus terhadap pesakit, keluarga mereka, majikan, kehilangan produktiviti dan pendapatan, seterusnya menjejaskan ekonomi negara dan sistem penjagaan kesihatan. Memang sudah dimaklumi bahawa penyakit mental, tekanan emosi dan gangguan tingkahlaku turut mendatangkan pelbagai kesengsaraan dan ketidakupayaan lain. Ia bukan sahaja menjejaskan produktiviti, tetapi juga kesannya yang negatif terhadap keperibadian dan perhubungan sosial, malah boleh membawa kepada pelbagai penyakit mental dan fizikal lain serta ada yang berakhir dengan kematian. Ramai yang beranggapan kesihatan mental adalah sakit mental dan kefahaman itu sebenarnya salah dan masyarakat perlu mengubah stigma mereka terhadap kesihatan mental.

Sebarang usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kesihatan mental harus dibuat dengan bijak dan pertimbangan yang sangat baik kerana kesannya yang mungkin timbul terhadap stigma. Segelintir masyarakat mungkin memandang rendah terhadap pesakit mental kerana kurangnya pemahaman dan pendidikan mereka mengenai keadaan ini. Budaya dan agama juga turut memainkan peranan penting dalam menentukan cara masyarakat memandang pesakit mental sama ada pandangan tersebut adalah pandangan negatif atau positif.

Hakikatnya di dalam ajaran Islam, walau apa pun badai dan tekanan yang melanda, pasti ada jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut agar dapat melangkah ke hadapan meneruskan perjalanan kehidupan. Allah SWT meneguhkan hati dan jiwa orang yang beriman dengan suatu jaminan melalui firman-Nya di dalam al-Quran surah al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Di dalam ayat yang lain iaitu surah al-Talaq ayat 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya).” 

Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara serius. Daripada 9 teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental ini merujuk kepada Teras yang ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.

 

Sumber: Harian Metro

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut