KKM REKOD 13 KES BERKAIT CUACA PANAS, MAJORITI KELESUAN HABA

PUTRAJAYA, 1 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 13 kes berkaitan cuaca panas sejak minggu pertama hingga kesembilan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kes membabitkan strok haba dan sembilan kerana kelesuan haba.

“Kesemua kes disebabkan oleh aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik. Terdapat satu kes strok haba dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa, Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.

“Manakala 11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah tujuh di Perak, Kedah (lima), dan satu di Sabah.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, iaitu merujuk kepada suhu maksium harian 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Lokasi lain Kuala Kangsar (Perak), Petaling dan Sepang (Selangor), Kuala Lumpur serta kawasan Beaufort di Sabah dan Limbang, Sarawak.

Sementara itu, Muhammad Radzi mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan ketika cuaca panas terutama pada Ramadan ini seperti merancang aktiviti di luar rumah dengan mengelak waktu puncak cuaca panas antara 11 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, dan rasa mual. Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan, dan koma.

“Awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan tempoh berada di luar bangunan.

Orang ramai diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan jika mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas, katanya.

-BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut