NRES TUBUH TABUNG KHAS KONFLIK MANUSIA-HAIWAN RM10 JUTA

BERA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam ( NRES) menubuhkan Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan khas bernilai RM10 juta pada tahun ini bagi menangani konflik antara manusia dan haiwan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kewujudan tabung itu hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu petani dan pekebun kecil yang mengalami kerugian akibat pencerobohan haiwan seperti gajah.

Menurutnya, ketika ini petani dan pekebun kecil mendapat bantuan daripada agensi lain seperti Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat( JKM).

“Melalui tabung khas ini petani dan pekebun kecil terbabit akan diberi pampasan lebih besar mengikut nilai kerosakan tanaman mereka yang musnah akibat pencerobohan haiwan berkenaan.

“Diakui berlaku konflik kepentingan antara manusia dan haiwan yang menceroboh kawasan kediaman dan pertanian penduduk, berikutan kawasan habitat spesies semakin mengecil setiap tahun ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2024 di Tapak Ramsar di Tasek Bera hari ini.

Katanya, pada masa ini terdapat tujuh kawasan tanah lembap yang diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasek Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetlands National Park di Sarawak, Lower Kinabatangan-Segama Wetland di Sabah dan Kota Kinabalu Wetland juga di Sabah.

“Sebagai Tapak Ramsar yang pertama di Malaysia, Tasek Bera yang berkeluasan lebih 30,000 hektar ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Antara kriteria yang melayakkan pengiktirafan Tasek Bera sebagai Tapak Ramsar adalah kepentingan kawasan ini sebagai habitat flora dan fauna bagi spesies yang terancam atau hampir pupus,” katanya.

Menurutnya, Tasek Bera merupakan tasik semula jadi terbesar di Malaysia yang menjadi ekosistem air tawar semula jadi yang penting dari segi kepelbagaian biologi akuatik di samping, terdapat kira-kira 2,000 penduduk Orang Asli Semelai yang mendiami kawasan ini.

“Negara kita bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang luas meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar.

“Dari segi struktur geografi, tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan terumbu karang yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna,” katanya.

Menurutnya, tanah lembap mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi sama ada dari segi nilai ekonomi dalam bentuk hasil hutan, laut dan pelancongan mahu pun faedah perkhidmatan ekosistem seperti perlindungan daripada bencana (tsunami), kawasan tadahan air, kawalan banjir dan penyimpanan karbon.

Sumber : Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …