AGONG BERKENAN TERIMA MENGHADAP AHLI-AHLI PESURUHJAYA RCI BATU PUTEH

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini, berkenan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara, di sini.

Menurut hantaran di Facebook rasmi, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 14 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI itu yang dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Anwar pada Disember lalu, turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Sumber: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …