VIDEO: BAH BESAR GELOMBANG KEEMPAT DI HULU DUNGUN BELUM BERAKHIR

Banjir gelombang kali keempat untuk musim tengkujuh 2023/2024 disifatkan lebih besar berbanding banjir yang melanda pada tahun 2014. Banjir besar melanda beberapa kampung di kawasan Hulu Dungun, Dungun. Antara kampung terjejas di kawasan itu melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing. Banjir besar melanda kawasan itu berikutan hujan lebat berterusan dan peningkatan mendadak paras air Sungai Hulu Dungun sejak dari 24 Januari 2024.

Daerah Dungun mencatatkan mangsa banjir paling ramai iaitu seramai 1,334 mangsa pada 28 Januari lalu. Setakat jam 10.00 pagi hari ini, 1 Februari 2024, jumlah mangsa banjir di satu-satunya daerah yang tinggal iaitu Dungun masih berbaki seramai 463 orang yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut penduduk, banjir besar berlaku di kawasan itu selang 10 tahun dan kali ini paling besar diibaratkan seperti tsunami kecil. Berdasarkan rekod, banjir besar di kawasan ini bermula pada tahun 1984, 1994, 2004, 2014 dan kali ini pada tahun 2024. Bermakna selang 10 tahun sekali akan berlaku banjir besar di beberapa kawasan di daerah tersebut. Rata-rata penduduk yang ditemui berkata banjir terbesar dalam tempoh lebih 50 tahun itu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda dan kebanyakan rumah hanya tinggal bumbung. Banyak kenderaan penduduk yang diletakkan di lokasi tinggi turut ditenggelami air.

Jawatankuasa pengurusan bencana di Negeri Terengganu yang diurus setiakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dilihat cekap dalam menguruskan urusan bencana banjir pada kali ini dan dilihat tidak ada mangsa yang tercicir daripada mendapatkan bantuan pertolongan terutama dalam proses dan usaha menyelamat. Mengenai pelan perancangan untuk mengatasi masalah banjir, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar berkata, pelan kontigensi berhubung masalah itu akan diatur dan akan dibincang serta diperincikan melalui Pengurusan Bencana Negeri bagi memastikan semua perkara berkaitan banjir dapat diselaraskan dengan sebaiknya.