PURATA TARIF AIR DI MELAKA MENINGKAT BERMULA 1 FEBRUARI

AYER KEROH: Kerajaan negeri mengumumkan purata kenaikan tarif air bagi kategori domestik di Melaka yang akan berkuat kuasa pada 1 Februari ini adalah sebanyak 16 sen bagi setiap meter padu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kenaikan itu sekali gus menyenaraikan Melaka sebagai negeri keempat terendah di negara ini dengan purata kenaikan tarif kategori domestik di Semenanjung adalah 22 sen per meter padu.

Beliau berkata, susulan pelarasan terbabit, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SMAB) memutuskan bahawa caj minimum untuk kategori domestik kediaman dinaikkan dari RM6 kepada RM8.70 manakala tarif di bawah 20 meter padu meningkat dari 60 sen kepada 87 sen bagi setiap meter padu.

Katanya, bagi penggunaan antara 21 hingga 35 meter padu, caj dinaikkan kepada RM1.52 berbanding 95 sen bagi setiap meter padu manakala penggunaan melebihi 35 meter padu naik daripada RM1.45 kepada RM2.02.

“Caj minimum untuk kategori domestik meter pukal perumahan pula kekal RM25, namun tarif air naik daripada RM1.80 kepada RM2.07 bagi setiap meter padu. Tarif terbaharu itu sudah termasuk tujuh sen caj elektrik per meter padu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, menerusi tarif baharu berkenaan, kira-kira 150,000 pengguna akaun domestik atau 51 peratus pengguna tidak akan terjejas secara signifikan meskipun tarif air dinaikkan sebanyak 27 sen bagi setiap meter padu.

Katanya, ini kerana peningkatan bil adalah minimum iaitu antara RM2.70 hingga RM5.40 sebulan.

Beliau berkata, sejumlah 81,000 pengguna akaun domestik atau 27 peratus pengguna biasa pula dijangka mengalami kebaikan bil air bulanan secara purata sehingga RM13.95 sebulan, manakala 66,000 akaun atau 22 peratus lagi akan menerima kenaikan bil air yang lebih tinggi disebabkan konsep tarif punitif yang diguna pakai bagi menggalakkan penjimatan penggunaan air.

“Kali terakhir pelarasan tarif domestik dilaksanakan di Melaka adalah pada April 2011 iaitu 13 tahun lalu dan bermula 1 Februari tahun ini, bermulalah pelarasan tarif baharu bersama dengan caj elektrik sebanyak 7 sen setiap meter padu kepada semua kategori pengguna membabitkan 297,000 akaun pengguna domestik dan 46,000 akaun pengguna bukan domestik.

“Hal ini adalah bagi membolehkan SAMB mengatasi perubahan kos elektrik disebabkan oleh surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Justeru, Ab Rauf yang juga Pengerusi SAMB, berkata kerajaan negeri mahu pendapatan tambahan menerusi pelarasan tarif kali ini akan digunakan sebaiknya oleh SAMB bagi membiayai projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

“Saya berharap pelarasan tarif baharu air ini akan menjadikan kerajaan negeri dan SAMB lebih komited memastikan sistem bekalan air di Melaka tidak mengganggu perancangan pembangunan negeri, khususnya membabitkan sektor pelancongan dan pelaburan,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

#

Artikel/Berita Terkini

LOKALITI WABAK DENGGI AKTIF NEGERI KELANTAN 2024

Terdapat 7 lokaliti wabak denggi aktif sehingga 19 Mei 2024 Wabak Tak Terkawal • 1 lokaliti di daerah Kota Bharu …
Maklumat Lanjut

KE MANA HALA TUJU

Kehidupan ibarat sebuah kenderaan; kita perlu pandu ia ke landasan yang betul untuk sampai ke destinasi yang diidamkan. Seperti pemandu …
Maklumat Lanjut

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut