PROGRAM SAWAH ALA SEKINCHAN MAMPU TINGKAT HASIL PADI SELURUH NEGARA

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerajaan optimis amalan pertanian baik seperti Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan mampu diaplikasi di kawasan penanaman padi di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini berikutan pelaksanaan program itu di Kampung Lat 1000, Perlis di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10.45 tan metrik per hektar.

Beliau berkata pelaksanaan program itu di Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (Ketara), Terengganu pula berjaya mencatatkan hasil sebanyak tujuh tan metrik per hektar.

“Kerajaan memandang serius perkara ini (pelaksanaan program) dan pelbagai usaha pemulihan serta intervensi telah diambil untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi negara bagi memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi sepanjang masa.

“Insya-Allah amalan pertanian baik di Sekinchan ini mampu diaplikasikan di Pekan, Pahang dan seluruh kawasan penanaman padi di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong di Pekan.

SMART SBB Ala Sekinchan adalah model baharu dengan menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktik Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang dilancarkan pada Mei 2023.

Antara lain, ia bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah dengan mengaplikasikan amalan penanaman padi terbaik dan mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok.

Mohamad juga berharap semua pihak berkepentingan dalam industri padi dan beras negara, bermula daripada kementerian sehinggalah para pesawah, perlu memainkan peranan masing-masing dengan baik serta berkesan untuk memastikan pengeluaran hasil lebih tinggi.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI

 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sekadar tema — ia lambang komitmen kerajaan dalam membina negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut