AYER KEROH – Sebanyak 11 daripada 22 jumlah keseluruhan lif penumpang di Hospital Melaka selesai ditukar baharu dan dibuka untuk operasi, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan selain memberi keselesaan kepada pengguna.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek dimulakan sejak 23 September 2022 sepatutnya selesai pada 3 Februari depan, namun disiapkan 30 hari lebih awal.
“Isu lif Hospital Melaka yang kerap rosak akibat sudah uzur dan berlarutan bagi tempoh agak lama akhirnya berjaya ditangani menerusi kerja penggantian yang dijalankan.
“Sebanyak RM7,452,245 dibelanjakan bagi kerja penggantian ini dan hasil perancangan teliti kita menikmati penjimatan terhadap kos siling berjumlah RM547,575,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf dan Penggantian Sistem Lif Di Hospital Melaka, di Hospital Melaka, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Hameed berkata, skop projek adalah penggantian dua unit lif penumpang dan menambah baik ruang ‘shaft’ sedia ada termasuk kerja awam di Blok Baru, penggantian enam unit lif penumpang di Blok Baru dan satu unit di Blok B (Bangunan Lama).
“Penggantian turut membabitkan masing-masing satu unit lif penumpang di Blok A (Bangunan Lama) dan Blok Pentadbiran. Untuk itu juga, Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 3 Januari lalu,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)