KERAJAAN TERBUKA TERIMA TEGURAN, TAMBAH BAIK POLISI KE ARAH NEGARA HEBAT

CYBERJAYA, 18 JAN: Kerajaan membuat penilaian untuk memperbaiki setiap ruang yang ada termasuk membabitkan soal pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan bagi mengangkat martabat serta keupayaan negara supaya menjadi lebih hebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian itu dilakukan semasa program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini berdasarkan input sektor swasta, penyelidik, ilmuwan dan pakar antarabangsa selain pandangan serta cadangan Jemaah Menteri pada sesi tersebut.

Ramai penyelidik atau pakar yang beri sumbangan yang sangat bermutu dan melalui pemukiman ini, saya dan rakan-rakan Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) memberi senario secara terbuka, sangat mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baharu.

Bukan untuk pertahankan program atau polisi sedia ada tetapi sedia untuk membuat penilaian bahawa ada ruang untuk diperbaiki ke arah pelaksanaan program dan dasar yang lebih berkesan.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini sempena pemukiman Perdana Menteri bersama 31 barisan anggota Jemaah Menteri yang berlangsung selama dua hari di Cyberview Resort & Spa di sini.

Anwar berkata turut diberi penekanan semasa program pemukiman ialah peralihan tenaga, transformasi digital, pelan perindustrian serta reformasi perkhidmatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara.

“Perbincangan itu menyeluruh tentunya menekan perpaduan rakyat dan negara serta kestabilan politik yang menjadi prasyarat bagi kita melaksanakan program-program.

“Kemudian kita bicara soal ekonomi untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara, dan juga memfokus kepada beberapa isu khusus meningkatkan isu pendidikan negara termasuk TVET dan pendidikan teknologi, soal digital, AI (Kecerdasan Pintar) dan juga beberapa isu yang telah kita cerakinkan dalam beberapa dasar sebelumnya.

Perdana Menteri berkata hasil perbincangan daripada program itu akan dimanfaat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memacu ekonomi Malaysia dalam usaha memaknai falsafah negara MADANI.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Kabinet yang telah menjayakan program itu yang disifatkan sebagai berprestasi tinggi serta membanggakan.

— BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN NEGARA MELALUI PROGRAM BICARA EKSEKUTIF GURU MUDA MADANI 2026

SUNGAI BULOH, 5 NOVEMBER 2026 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan …

PENGHANTARAN PULANG DAN PENEMPATAN SEMULA KEKAL SEBAGAI KEUTAMAAN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Luar Negeri terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi penyelesaian jangka …

DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP)

TUJUAN DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP) Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bertujuan membantu Kerajaan mengurus pelarian di Malaysia secara lebih tersusun, selamat …