ISTIADAT LEBIH SEABAD ‘TAK LAPUK DEK HUJAN, TAK LEKANG DEK PANAS’

Meskipun sudah 125 tahun sejak pertama kali dimulakan, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli masih diteruskan, ibarat pepatah ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang diadakan tiga tahun sekali itu dengan kali terakhir pada 2019, adalah acara bersejarah bertujuan mengulangi ikrar taat setia tidak berbelah bahagi Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung, kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh.

Menurut Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, istiadat yang diadakan sejak 17 November itu dimulakan dengan Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, diteruskan dengan Istiadat Bersiram hari ini serta upacara kemuncak iaitu Istiadat Mengadap pada 18 November 2023.

Beliau berkata, dalam Istiadat Bersiram, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat dari istana ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana yang dihela (ditarik) Pegawai 99 Istana.

Istiadat Bersiram ini istimewa kerana hanya tiga kali berlaku iaitu semasa tuanku ditabal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga, ketika anak putera Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin.

Perarakan dimulakan dengan lapan das tembakan meriam sehingga tuanku berdua naik ke Panca Persada dengan Istiadat Bersiram bermula di situ, manakala lapan das tembakan lagi dilepaskan apabila upacara itu selesai.

Upacara kemudian dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu membawa Cepu Bedak Limau dan menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di hadapan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani sebelum Orang Empat Istana mengelilingi pasangan diraja berkenaan sebanyak tujuh kali.

Setiap pusingan, setiap Orang Empat Istana akan menjunjung duli menandakan cukup satu pusingan dan setiap pusingan itu adalah simbolik bagi memohon Allah melindungi tuanku daripada musibah bencana tujuh petala alam.

Selesai pusingan, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman secara bergilir-gilir dan baginda berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.

Upacara mencelup kedua-dua tangan adalah simbolik bagi membersihkan diri dan dari segi jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap.

Istiadat itu dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja, kenamaan kerajaan serta masyarakat sekitar pelbagai peringkat umur yang turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah di negeri tanah beradat itu.

Penduduk setempat, Afida Mohd Zain, 62, yang kali pertama menyaksikan istiadat berkenaan bersama anaknya, melahirkan keterujaan apabila berpeluang mengikutinya secara langsung yang disifatkan sangat unik dan tiada di negeri lain.

Nur Aryuni Allysha Hasnan, 22, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin, Melaka berkata upacara berkenaan memberi pendedahan terutama kepada generasi muda untuk mempelajari keunikan budaya di negeri yang mengamalkan Adat Pepatih ini.

Upacara seperti ini sangat menarik untuk dipelajari. Malah, ayah saya yang juga buapak juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk hadir dalam majlis adat, setiap kali ada upacara membabitkan istana memang saya akan hadir,” katanya.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 ketika pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun.

 

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

KE MANA HALA TUJU

Kehidupan ibarat sebuah kenderaan; kita perlu pandu ia ke landasan yang betul untuk sampai ke destinasi yang diidamkan. Seperti pemandu …
Maklumat Lanjut

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut

KERJA ADALAH IBADAH DAN AMANAH

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan …
Maklumat Lanjut