DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 6: KEADILAN SOSIAL (Memelihara Golongan Rentan)
PAWANA RAMADAN: KEWAJIPAN BERZAKAT
Zakat merupakan Rukun Islam yang ketiga. Dari segi bahasa zakat berasal daripada membawa maksud ‘bersih, suci, subur, berkat dan berkembang’. Pengertian ‘bersih dan suci’ merujuk kepada kaedah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya dari sifat kedekut dan bakhil. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada golongan-golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa zakat diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syaratnya berdasarkan dalil-dalil daripada nas-nas al-Quran dan al-Hadis. Firman Allah s.w.t.:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” – Surah al-Taubah: 103.
Manakala hadis-hadis Nabi s.a.w. juga telah menetapkan zakat sebagai salah satu perkara wajib yang terkandung dalam Rukun Islam.
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Islam didirikan atas lima dasar iaitu bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah, dan puasa Ramadan”- Hadis Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim.
Zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu Zakat Badaniyah dan Zakat Maliyah. Zakat Badaniah atau Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan mengikut syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan, manakala Zakat Maliyah atau Harta ialah zakat bagi harta atau barang-barang bernilai yang dimiliki juga mengikut syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri telah menyenaraikan sembilan jenis Zakat Maliyah, iaitu:
- Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan. Bentuk-bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.
- Zakat Gaji/Pendapatan ialah zakat yang dikenakan meliputi segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli professional.
- Zakat Wang Simpanan ialah zakat yang dikenakan ke atas wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa dan lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan. Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.
- Zakat Emas dan Perak ialah zakat yang dikenakan ke atas logam jenis emas dan perak apabila mencukupi nisab dan haulnya. Emas dan perak diwajibkan kerana ia adalah jenis harta yang amat bernilai dan menjadi sumber kekayaan seseorang. Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kecuali jika ianya melebihi ‘uruf (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai ‘uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.
- Zakat Pertanian ialah satu zakat yang dikenakan bagi makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya. Contohnya, bagi penduduk di Malaysia, makanan asasinya adalah nasi dan nasi dihasilkan daripada padi. Maka zakat pertanian yang sesuai dikeluarkan bagi negara Malaysia adalah zakat padi.
- Zakat Binatang Ternakan ialah zakat yang dikenakan bagi haiwan ternakan yang wajib dikenakan zakat iaitu kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta.
- Zakat Caruman Berkanun ialah zakat yang dikenakan bagi wang simpanan atau caruman yang dimiliki sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG). Caruman KWSP diwajibkan zakat apabila ia dikeluarkan dari simpanan tersebut.
- Zakat Saham dan Bon ialah zakat yang dikenakan bagi wang modal yang dilaburkan dalam perniagaan sesebuah syarikat atau seumpamanya; manakala bon pula ialah pinjaman untuk tempoh tertentu dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Ia merupakan harta berbentuk mata wang yang diberikan kepada syarikat atau kerajaan dan merupakan satu pinjaman berkala. Saham dan bon yang diniagakan adalah tertakluk kepada zakat kerana ianya termasuk dalam harta yang berkembang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi pemilik/pemegangnya dan umat Islam.
- Zakat Hasil Galian dan Harta Karun ialah zakat yang dikenakan kepada tiga bentuk harta iaitu Ma’adin, Kanz dan Rikaz. Ma’adin merujuk segala galian yang diperoleh dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut. Kunuz pula bermaksud harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun). Rikaz ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam.
Seseorang Islam diwajibkan menunaikan zakat setelah memenuhi syarat-syarat wajibnya iaitu:
- Islam: Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam, hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambil kira untuk zakat.
- Merdeka: Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah.
- Milik Sempurna: Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperoleh manfaat daripadanya.
- Cukup Nisab: Nisab merujuk kepada paras nilai minimum yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas harga nilai semasa.
- Cukup Haul: Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.