KESELAMATAN NEGARA: MALAYSIA PERLU SELANGKAH DI HADAPAN MENDEPANI ANCAMAN SEKURITI MAKANAN

Sekuriti makanan ditakrifkan sebagai keadaan di mana semua orang, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal, sosial, dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat, dan berkhasiat yang memenuhi keperluan diet dan keutamaan makanan mereka untuk kehidupan yang aktif dan sihat. Sekuriti makanan bukan hanya tentang mempunyai makanan yang mencukupi; ia mencakupiΒ  mendapatkan akses kepada makanan yang berkhasiat, selamat dan boleh diterima dari segi budaya. Ia merangkumi keupayaan untuk memperoleh makanan melalui cara yang berbeza, termasuk pengeluaran, perdagangan, dan pengedaran, serta keupayaan untuk menggunakan dan memelihara makanan dengan berkesan. Sekuriti makanan juga termasuk keupayaan untuk bertahan dan pulih daripada ketidaktentuan seperti bencana alam atau krisis ekonomi, tanpa menjejaskan akses makanan atau pemakanan.

Justeru itu, sekuriti makanan adalah suatu aspek kesejahteraan rakyat yang penting dan sentiasa menjadi agenda utama setiap kerajaan di dunia. Ketidakjaminan makanan akan menggoyahkan hak asasi manusia dan menjadi mukadimah kepada masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan sejagat. Di peringkat global, bilangan orang yang mengalami ketidakjaminan makanan akut meningkat daripada 135 juta pada 2019 kepada 345 juta disebabkan perang di Ukraine, gangguan rantaian bekalan dan kejatuhan ekonomi yang berterusan akibat pandemik Covid-19. Perubahan iklim yang berlaku secara ekstrem dan kenaikan harga baja yang melambung tinggi melemahkan lagi situasi sekuriti makanan dunia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berdasarkan trend dan corak semasa, beberapa potensi ancaman sekuriti makanan yang boleh terus menjejaskan sistem makanan global pada 2023 ini termasuk perubahan iklim dan konflik geopolitik antarabangsa. Perubahan iklim memberi ancaman serius terhadap sektor pertanian dan keadaan di sekelilingnya termasuklah kesan negatif kepada sekuriti makanan. Perubahan iklim yang berlaku secara ekstrem meningkatkan lagi kebarangkalian berlakunya bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau dan lain-lain.

Malaysia yang secara relatifnya bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan taufan yang berlaku secara berkala di negara jirannya. Bagaimanapun, banjir adalah bencana utama yang kerap melanda negara ini dan menyebabkan kesan sosioekonomi yang ketara dan memberi tamparan hebat kepada sekuriti makanan dalam negara. Bencana banjir memberi kesan kerosakan fizikal terhadap ladang, tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian. Selain itu, banjir juga boleh mengganggu rangkaian pengangkutan dan akses ke ladang dan pasar. Pembekal dan penjual makanan juga akan mengalami penyusutan dari segi pendapatan dan akhirnya mereka terpaksa menaikkan harga yang tinggi bagi menampung penyusutan pendapatan mereka. Disebabkan permintaan makanan yang lebih tinggi dan produktiviti tanaman yang berkurangan, harga makanan yang lebih tinggi boleh menjejaskan lagi akses dan ketersediaan makanan untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Bank Dunia telah membuat kajian dan mendapati bahawa sebahagian besar pendapatan rakyat miskin dibelanjakan untuk membeli makanan. Namun, kenaikan harga makanan akan menyebabkan golongan ini tidak mampu untuk membelinya dan mereka terpaksa ikat perut untuk satu tempoh yang lama. Selain itu, Dana Antarabangsa Untuk Pembangunan Pertanian (IFAD) mendapati sekurang-kurangnya 70 peratus daripada golongan yang sangat miskin tinggal di kawasan luar bandar dan kebanyakan mereka bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan. Hal ini akan melemahkan lagi hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat.

Dalam konteks pertanian, inovasi adalah penggerak kepada pencapaian sekuriti makanan dan pengurangan kemiskinan luar bandar. Perancangan pengadaptasian saling berkaitan dengan kesedaran, pengetahuan dan persepsi petani tentang perubahan iklim. Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang perubahan iklim adalah perlu bagi petani melaksanakan strategi dan teknik pengadaptasian sesuai. Petani juga boleh melihat bagaimana petani luar negara mengadaptasi banjir. Selain itu, Penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian amat diperlukan bagi mendukung aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 agar sektor agromakanan negara lebih mampan dan cukup untuk menampung keperluan makanan domestik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan makanan import. Penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian seperti penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), GPS (Global Positioning System), kecerdasan buatan (AI), robotik, dan dron dapat membantu para petani meningkatkan daya tahan bagi menghadapi bencana banjir.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan mendesak untuk membangunkan amalan pengadaptasian secara inovatif dan mengarus- perdanakan ke dalam dasar pembangunan. Kerajaan harus memastikan pertanian pintar diguna pakai sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan isu ketidakjaminan makanan dan secara langsung mengekalkan kestabilan sekuriti makanan negara.

Sumber: Harian Metro

Artikel/Berita Terkini

BISKUT RAYA SERENDAH RM13 SEBALANG

Pengalaman hidup susah sehingga tidak mampu membeli kuih raya pada zaman kanak-kanaknya, mendorong seorang pengusaha biskut dan kek menjual pelbagai …
Maklumat Lanjut