Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaksanakan kempen ‘Say No To Valentine Day ‘ sebagai usaha pencegahan kepada maksiat dan perlakuan tidak senonoh pada hari kekasih yang disambut setiap 14 Februari. Sempena “Valentine Day” atau “Hari Kekasih”, umat Islam diingatkan agar tidak menyambut Hari Kekasih kerana ianya berpotensi mendorong diri ke arah kemungkaran.
Mufti Terengganu, Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron dalam satu kenyataan berkata, tidak salah meraikan pasangan namun hendaklah tidak melebihi batas dan sesuai dengan tuntutan syarak. Bagi pasangan muda yang belum berkahwin, sambutan Hari Kekasih itu dikhuatiri akan menjerumus kepada pergaulan bebas, seperti berhubungan intim atau seks luar nikah.
Jika dilihat sebelum ini, kebanyakan pasangan yang meraikan hari kekasih banyak melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam. Ini dapat dilihat melalui operasi yang dilakukan pasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang mana ramai pasangan ditangkap berkhalwat pada malam sambutan Hari Kekasih.
Menurut hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak. “Dalam hadis lain, sesiapa yang meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini, ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.
Sementara itu, menurut Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron sejarah Hari Kekasih diingati sempena kisah pencintaan seorang paderi yang bernama Santo Valentine yang dihukum pancung pada 14 Februari 269. Beliau berkata, kisah pencintaannya itu yang dianggap sebagai melawan peraturan kerajaan telah dinobatkan sebagai pahlawan kasih sayang ketika itu. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya mengikut amalan Barat dan penganut agama lain dengan menyambut Hari Kekasih yang boleh memudaratkan batas dan pergaulan.
Dalam hal ini, peranan ibu bapa juga perlu bagi memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak remaja pada masa kini kerana cabaran mendidik anak-anak kini sangat tinggi apatah lagi dengan pengaruh media sosial. Kebanyakan anak-anak yang masih bersekolah sudah pun dibekalkan dengan kemudahan telefon bimbit untuk kegunaan harian, akan tetapi jika tidak dipantau, dibimbangi anak-anak menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk mengakses perkara-perkara yang tidak bermoral.
Sumber: TRDI, Utusan Malaysia