BELANJAWAN NEGERI SEMBILAN 2023 LULUS SEBULAT SUARA

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Belanjawan 2023 dengan sebulat suara hari ini selepas ia dibahaskan selama tiga hari oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak 25 November lalu.

Belanjawan Negeri Sembilan 2023 yang bertemakan ‘Melunas Janji, Menggalas Harapan’ merupakan perbelanjaan defisit sebanyak RM100 juta yang menyediakan sembilan bidang tumpuan dengan 64 inisiatif  bagi membantu rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam penggulunggannya menjelaskan, belanjawan tersebut yang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM550 juta itu digarap dengan tumpuan mendepani cabaran masa depan dalam ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Fokus Belanjawan Negeri Sembilan 2023 adalah kepada pelaksanaan inisiatif- inisiatif yang diyakini dapat mengimbangkan keperluan sara hidup dan pengukuhan ekonomi supaya terus berdaya tahan.

“Belanjawan ini terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat dibantu dalam mengharungi isu peningkatan kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan,” katanya pada hari terakhir Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat dalam menangani dan mencegah isu banjir.

“Sebahagian peruntukan tahunan disediakan khusus bagi penyelenggaraan sistem perparitan dan lembangan sungai.

“Untuk rekod, jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Negeri kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan bagi projek-projek Pengurusan Tebatan Banjir dan Lembangan Sungai dari tahun 2018 hingga 2023 adalah sebanyak RM39.55 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan P54 – JPS berjumlah RM66.26 juta.

“Malah, peruntukan tahun 2023 bagi JPS telahpun dinaikkan daripada RM10.13 juta tahun 2022 kepada RM11.9 juta pada tahun hadapan,” katanya.

Jelasnya, bagi menghadapi bencana, kerajaan negeri juga menambah peruntukan di bawah Vot Pembangunan P-64 Luar Jangka sebanyak RM2 juta pada tahun 2023 berbanding RM0.5 juta pada tahun ini.

“Peruntukan bagi bencana juga disediakan di bawah Akaun Amanah Permasalahan Rakyat, Akaun Amanah Bencana, dan Akaun Amanah Dana Khas Menteri Besar untuk Khidmat Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,” kataya.

Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian

Sumber: UTUSAN

 

 

Artikel/Berita Terkini

KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN PROJEK KERETA API TRANS BORNEO DIMULAKAN TAHUN INI

KOTA KINABALU (18 April): Kajian Kebolehlaksanaan Projek Trans Borneo Railway akan dilaksanakan pada tahun ini bersama dua lagi kajian berkaitan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN KOMITED UNTUK MENOKTAKAN ISU KEMISKINAN TEGAR DI NEGERI SABAH – JUHAR MAHIRUDDIN

KOTA KINABALU (18 April): Kerajaan negeri komited dalam usaha membasmi isu kemiskinan sekali gus akan menoktahkan miskin tegar dalam tempoh …
Maklumat Lanjut

DUN SABAH: KERAJAAN TERUSKAN PEMBERIAN INSENTIF KEPADA SYARIKAT PENERBANGAN

KOTA KINABALU (18 April): Pelaksanaan pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa akan diteruskan bagi meningkatkan daya saing negeri Sabah di …
Maklumat Lanjut