MASJID BERUSIA 183 TAHUN DIPULIHARA

KUALA PILAH: Masjid Kampung Terusan di sini yang berusia 183 tahun diberi nafas baharu melalui projek naik taraf Bangunan dan Rumah Warisan Negeri Sembilan.

Masjid lama yang dianggap tertua di Negeri Sembilan itu dibina pada 1840 secara gotong-royong oleh penduduk kampung dengan diketuai Datuk Siamang Gagap, salah seorang tokoh tersohor di negeri ini.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Shamsuddin Ahmad, seni bina masjid berkenaan merupakan seni bina tempatan tanpa sebarang pengaruh dari negara seperti Asia Barat serta India.

“Arkiteknya dahulu ialah tukang-tukang tempatan, Masjid Kampung Terusan ini jika ingin masuk, perlu menunduk terlebih dahulu.

“Ini kerana terdapat jenang pintu masjid yang rendah bagi memastikan sesiapa sahaja masuk ke dalamnya perlu menunduk.

“Inilah seni bina Melayu yang ada konsep sopan santun dan menghormati sebaik sahaja me­langkah masuk ke rumah atau masjid. Kalau tidak menunduk dibimbangi akan terhantuk de­ngan jenang pintu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Shamsuddin, projek pemuliharaan Bangunan dan Rumah Warisan Negeri Sembilan telah dicetuskan pada tahun lalu sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri menonjolkan keindahan dan keunikan seni bina ba­ngunan dan rumah warisan yang terdapat di negeri ini.

Menurut beliau, ia sekali gus menjadi salah satu produk tarikan baharu pelancongan dalam menarik kedatangan pelancong dan pengunjung.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk menjalankan projek pemuliharaan ini tidak hanya tertumpu di satu kawasan tetapi di semua daerah agar menjadi tarikan kepada pelancong dan pengunjung ke daerah tersebut dan sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Umumnya terdapat lima projek Rumah Warisan Negeri Sembilan yang telah dipulihara merangkumi dua buah masjid lama dan tiga buah rumah individu yang terpilih,” katanya.

Menurutnya, pihak kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pemuliharaan ini telah menggunakan kaedah yang sama se­perti yang digunakan tukang kayu pada zaman dahulu bagi memastikan keaslian bangunan tersebut.

Sementara itu Shamsuddin memberitahu, menerusi Belanjawan Negeri Sembilan, kerajaan negeri bersetuju meneruskan inisiatif berkenaan.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan adalah rumah warisan Dato’ Klana Petra Hj. Mohd Yusof, Bangunan Moi Kong Ng Shook Fui Kon dan kerja-kerja penyediaan dokumentari pemuliharaan Ba­ngunan dan Rumah Warisan Ne­geri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …