PBNS, UITM JALIN KERJASAMA BANGUNKAN BOLA SEPAK NS

SEREMBAN: Pendekatan sains sukan akan digunakan sebagai rancangan jangka panjang bagi membangunkan sukan bola sepak di Negeri Sembilan ke tahap lebih tinggi.

Bagi mencapai hasrat itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) telah menjalin persefahaman dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Melalui persefahaman itu, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UITM Kampus Seremban akan menggunakan kepakaran dimiliki mereka bagi membantu meningkatkan keupayaan dan prestasi pasukan bola sepak negeri ini.

Kepakaran itu termasuk tenaga pensyarah berkaitan prestasi sukan, diet dan kecederaan sukan selain kemudahan peralatan sains sukan di fakulti berkenaan.

Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, kerjasama itu melibatkan badan induk iaitu PBNS dan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NFSC) serta pihak lain yang bernaung di bawah kedua-dua badan itu.

“Untuk permulaan kerjasama ini akan melibatkan pasukan utama sebelum diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi.

“Kepakaran UiTM dalam bidang sains sukan ini diharap mampu membawa manfaat jangka panjang dalam usaha meningkatkan prestasi bola sepak negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PBNS/NSFC dengan UiTM di sini hari ini.

Yang turut hadir Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Yamin Yassin.

Sementara itu, Yamin berkata, MoU yang ditandatangani hari ini membolehkan universiti itu mengetengahkan kepakaran dalam bidang sains sukan kepada komuniti bola sepak di negeri ini.

Jelasnya, kepakaran itu antara lain membolehkan pihaknya mengumpul dan menganalisis data untuk menilai prestasi sebenar seseorang pemain bola sepak setiap kali mereka beraksi di padang.

“Analisa data ini penting untuk kami mencari jalan bagaimana meningkatkan prestasi permainan individu tersebut.

“Selain itu, kami juga mempunyai pakar sains sukan dalam pelbagai bidang seperti kecergasan, nutrisi dan pemulihan daripada kecederaan sukan,” ujarnya.

Beliau berkata, FSR mempunyai kemudahan termasuk gimnasium, makmal kecederaan dan makmal Motor Learning yang dijangka memberi manfaat kepada warga PBNS, NSFC serta masyarakat setempat. – UTUSAN ONLINE

sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

KOMITMEN 9 FOKUS LANDSKAP BAHARU PENDIDIKAN SABAH

SANDAKAN (9 Mei): Jabatan Pendidikan Negeri Sabah terus memberi komitmen dalam mencapai sembilan fokus Landskap Baharu Pendidikan Negeri Sabah. Sembilan landskap …
Maklumat Lanjut

STRATEGI ESG UNTUK PEMBANGUNAN MAMPAN: ANIFAH

KOTA KINABALU (9 Mei): Sabah telah memulakan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang komprehensif untuk pembangunan mampan di …
Maklumat Lanjut

2,013 WARGA FILIPINA DIHANTAR SEMULA KE NEGARA ASAL

KOTA KINABALU (9 Mei): Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah merekodkan seramai 2,013 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan …
Maklumat Lanjut