PELAJAR NYARIS DICULIK KETIKA TUNGGU VAN SEKOLAH

Seorang pelajar lelaki mendakwa dia hampir diculik tiga lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dalam kejadian di Tanjung Dawai dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu berlaku ketika pelajar berusia 13 tahun terbabit sedang menunggu van sekolah.

Menurut mangsa, dia menunggu van itu bersendirian sebelum dihampiri MPV Grand Livina berwarna kelabu dinaiki tiga lelaki.

“Pagi tadi saya menunggu van sekolah di hadapan sebuah kedai runcit di pekan Tanjung Dawai.

“Tiba-tiba sebuah kereta berwarna kelabu yang dipandu laju dari arah bangunan Arked Mara berhenti di hadapan saya sebelum dua lelaki turun sambil meminta saya menaiki kenderaan itu,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia yang tidak mengenali dua individu tersebut kemudian bertindak mengundurkan diri.

“Mereka sempat memegang bahu sebelum saya meronta dan berlari pulang ke rumah di Kampung Kepala Tanjung terletak kira-kira 100 meter untuk memaklumkan kepada ibu.

“Melihat saya berjaya melepaskan diri, dua lelaki itu kembali memasuki kenderaan itu sambil dipandu pergi oleh seorang lagi kawan mereka,” dakwanya.

Sementara itu, ibu pelajar terbabit berusia 32 tahun berkata, dia cemas apabila melihat anaknya berlari pulang ke rumah dengan wajah pucat sambil menangis teresak-esak.

“Saya terkejut melihat keadaannya seperti dalam ketakutan sebelum memintanya menenangkan diri.

“Selepas beberapa minit kemudian dia memaklumkan ada orang cuba menculiknya menggunakan sebuah kenderaan,” katanya.

Tambahnya, dia seterusnya meminta suaminya membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Saya terkejut dengan kejadian ini yang mana suami saya yang bekerja sebagai nelayan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa sehingga membuatkan orang berdendam dan cuba menculik anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan.

Sumber: KOSMO!

Artikel/Berita Terkini

BISKUT RAYA SERENDAH RM13 SEBALANG

Pengalaman hidup susah sehingga tidak mampu membeli kuih raya pada zaman kanak-kanaknya, mendorong seorang pengusaha biskut dan kek menjual pelbagai …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐊𝐓𝐈𝐕𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐀𝐓𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐏𝐃𝐍

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Pihak KPDN …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗚𝗘𝗥𝗔𝗞 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut