BAJET 2023 AMBIL KIRA CABARAN RAKYAT TAHUN HADAPAN – PM

SEREMBAN: Kerajaan memberi jaminan Bajet 2023 yang bakal dibentangkan awal tidak lama lagi berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dalam meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan kelangsungan sektor perniagaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan kesulitan ahli Keluarga Malaysia dan berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung, khususnya berkaitan kenaikan harga barang keperluan.

“Dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam.

Turut hadir, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Wong Keng Tong.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada memastikan persekitaran hidup yang selamat dan selesa, dengan memberi penekanan pembangunan yang inklusif serta selari dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa komuniti masyarakat Cina sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023 nanti.

Langkah ini ujarnya bertujuan memastikan setiap lapisan rakyat dapat menikmati manfaat daripada pencapaian pembangunan negara tanpa kompromi terhadap hak generasi akan datang.

“Menjadi harapan saya untuk mewujudkan negara yang aman dan harmoni, serta melihat kita semua dapat hidup sebagai satu keluarga yang besar mendukung semangat Keluarga Malaysia.

“Kerajaan sememangnya menggalakkan penganjuran program-program kebudayaan kerana perbezaan budaya membolehkan kita semua mempelajari falsafah setiap budaya seterusnya merapatkan hubungan di antara kaum,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

Artikel/Berita Terkini

28,531 CALON UPKK 2023 RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG 8A

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang …
Maklumat Lanjut

TIPS PENGGUNAAN BARANGAN ELEKTRIK SEMASA DI RUMAH

Barangan elektrik tidak dapat dinafikan sangat banyak membantu memudahkan tugasan domestik seharian. Tugasan memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian tidak …
Maklumat Lanjut

LAPAN ANGGOTA FRU DIDAKWA SIMPAN BAHAGIAN BADAN PELANDUK

Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian …
Maklumat Lanjut